
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Jabatan Imigresen (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), khususnya dalam perkongsian risikan dan tindakan terhadap jenayah dalam talian.
- Kerjasama meliputi empat teras: pembinaan kapasiti sumber manusia, perkongsian maklumat risikan, siasatan bersama dan operasi bersepadu.
- Pertukaran MoU disempurnakan Pengerusi MCMC dan Ketua Pengarah Imigresen, disaksikan menteri berkaitan.
- MCMC mengenal pasti lebih 470,000 kandungan berbahaya; 93 peratus daripadanya berjaya diturunkan platform.
- Sebanyak 91 peratus permohonan melibatkan kandungan judi dalam talian dan penipuan; usaha diperkasakan untuk lindungi platform.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu meliputi empat teras utama, iaitu pembinaan kapasiti sumber manusia, perkongsian maklumat risikan, siasatan bersama serta operasi bersepadu.
“Penggabungan kepakaran kedua-dua agensi mampu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, terutama apabila sesuatu kes memerlukan tindakan susulan secara bersama
“Inisiatif JIM dan MCMC langkah yang betul untuk menggabung dua kekuatan agensi ini. Sekurang-kurangnya untuk kita mitigate (mengurangkan) potensi jenayah yang semakin menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu di sini hari ini.
Pertukaran MoU itu disempurnakan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dengan disaksikan Saifuddin dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lebih 470,000 kandungan berbahaya telah dikenal pasti MCMC, dengan 93 peratus daripadanya berjaya diturunkan oleh platform terbabit.
Tambah beliau, sebanyak 91 peratus daripada permohonan berkenaan melibatkan kandungan judi dalam talian dan penipuan.
“Jadi sangat jelas usaha pihak MCMC untuk memastikan platfrom seperti Facebook, TikTok dan Threads bebas daripada jenayah serta kemudaratan dalam talian,” katanya.