
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesahkan rangkaian pemantauan gempa bumi dan tsunami negara berada dalam fasa kesiapsiagaan penuh berikutan beberapa siri insiden gempa bumi yang melanda Indonesia baru-baru ini.
- Pengawasan 24 jam dipertingkat menerusi 82 stesen seismik, 25 tolok pasang surut dan 83 siren amaran tsunami di seluruh negara.
- Penilaian pantas berdasarkan data cerapan dan pemantauan paras air laut mendapati tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
- Peralatan diselenggara dan diuji berkala; orang awam dinasihat kekal tenang dan mendapatkan maklumat rasmi METMalaysia.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional METMalaysia, Maqrun Fadzli, berkata pengawasan 24 jam kini dipertingkat menerusi pengoperasian 80 stesen seismik, 25 stesen tolok pasang surut, serta 83 siren amaran tsunami di seluruh negara.
Menurut beliau, hasil penilaian pantas berdasarkan data cerapan stesen seismik dan pemantauan paras air laut mendapati kejadian gempa bumi berkenaan tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
“Semua peralatan pemantauan diselenggara dan diuji secara berkala mengikut jadual bagi memastikan sistem sentiasa berfungsi dengan baik serta membolehkan sebarang amaran awal dikeluarkan dengan segera sekiranya diperlukan.
“Stesen tolok pasang surut sentiasa memantau sebarang perubahan paras air laut, manakala siren tsunami di kawasan strategik pesisir pantai bersedia diaktifkan sekiranya terdapat ancaman tsunami,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang awam agar kekal tenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya sentiasa mendapatkan maklumat serta arahan rasmi terus daripada saluran METMalaysia.
Terdahulu, METMalaysia turut memaklumkan satu lagi gempa bumi sederhana bermagnitud 5.4 melanda rantau Flores, Indonesia pada 11.48 pagi tadi.
Ini merupakan kejadian gempa bumi ketiga yang direkodkan di rantau tersebut hari ini.