
PETALING JAYA, 16 Ogos – Penganjuran PJ Startup Festival 2026 menjadi platform kepada syarikat pemula memperkenalkan produk dan idea baharu, selain membuka ruang kepada golongan muda untuk meneroka peluang dalam bidang keusahawanan dan teknologi.
- Petaling Jaya menyediakan ekosistem lengkap: akses pembiayaan, sokongan teknologi dan tenaga kerja berbakat daripada institusi pengajian tinggi.
- PJ Startup Festival menyatukan pelbagai syarikat pemula termasuk peserta di bawah MDEC dan Sidec untuk mempamerkan produk dan idea baharu.
- Acara ini membuka peluang kepada syarikat pemula bertemu pelanggan berpotensi, pelabur dan peneraju industri serta memperluas pendedahan teknologi.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, Petaling Jaya mempunyai ekosistem yang sesuai untuk menyokong perkembangan syarikat pemula, termasuk dari aspek pembiayaan, teknologi dan tenaga kerja.
Menurut beliau, institusi pengajian tinggi yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang turut menjadi sumber penting dalam melahirkan golongan muda yang berpotensi untuk menceburi bidang teknologi dan keusahawanan.
“Kehadiran anak-anak muda amat digalakkan bagi melihat secara dekat peluang penerokaan dalam ekosistem startup teknologi di Negeri Selangor.
“Petaling Jaya khususnya bertindak sebagai pusat hub yang amat strategik kerana menawarkan ekosistem lengkap merangkumi akses pembiayaan, sokongan teknologi serta kemudahan tenaga kerja berbakat daripada universiti-universiti berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi tinjauan mesra di reruai PJ Startup Festival 2026, di sini.
Penganjuran kali ketujuh itu turut menghimpunkan pelbagai syarikat pemula dan produk baharu, termasuk syarikat yang bernaung di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Sementara itu, peserta pameran, Dhania Arisya Noorazlan berkata, festival berkenaan memberi peluang kepada syarikat pemula menambah pengetahuan mengenai produk dan syarikat lain, selain memperluas pendedahan terhadap teknologi baharu.
“PJ Startup Festival 2026 sememangnya memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada syarikat pemula. Menerusi program ini, kami bukan sahaja dapat menambah pengetahuan berkaitan produk dan syarikat sendiri, malah turut berpeluang mempelajari perkembangan serta kelebihan syarikat-syarikat lain,” katanya.
Seorang lagi peserta pameran, Ahmad Zikri Ani turut menyifatkan penganjuran festival berkenaan berjaya menarik kumpulan pengunjung yang berpotensi menjadi pelanggan kepada syarikat pemula yang mengambil bahagian.
“Alhamdulillah, sasaran audiens yang ditetapkan berjaya dicapai, sekali gus membuka peluang kepada syarikat-syarikat yang terlibat untuk mengenal pasti pelanggan berpotensi. Sebagai contoh, syarikat pemula dapat meneroka potensi pasaran dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada bakal pelanggan, sama ada untuk keperluan dalam masa terdekat mahupun pada masa akan datang,” katanya.
PJ Startup Festival 2026 turut menjadi platform menghubungkan syarikat pemula dengan pelanggan, pelabur dan peneraju dalam ekosistem teknologi, selain memperkenalkan produk serta idea baharu kepada pasaran.