Ekonomi biru Sabah diberi perhatian dalam Belanjawan 2027

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ Foto fail BERNAMA

TAWAU, 16 Ogos – Potensi ekonomi biru di Sabah khususnya dalam sektor perikanan, akuakultur, pemprosesan hiliran dan pelancongan marin akan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah mempunyai kelebihan sumber semula jadi untuk membangunkan segmen ekonomi berasaskan laut dan sungai.
  • Potensi diperkasa: perikanan laut dalam, akuakultur, pemprosesan produk marin dan industri hiliran bagi nilai tambah serta peluang pekerjaan.
  • Perbincangan kenal pasti keperluan infrastruktur, pembiayaan dan keutamaan; cadangan Sabah Maju Jaya akan diperhalusi untuk Belanjawan 2027.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Sabah mempunyai kelebihan sumber semula jadi yang besar untuk membangunkan segmen ekonomi baharu berasaskan sumber laut dan sungai.

“Antara potensi yang boleh diperkasa termasuk aktiviti perikanan laut dalam, akuakultur, pemprosesan produk marin serta industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama Kerajaan Negeri Sabah, agensi berkaitan dan pemain industri di sini, hari ini.

Menurut beliau, lawatan kerja Jelajah Belanjawan 2027 ke Sabah merupakan siri pertama yang memberi tumpuan kepada ekonomi biru, selain mendapatkan pandangan pemain industri berhubung langkah yang boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor berkenaan.

“Kalau kita tengok dari segi negeri Sabah ini kaya dengan sumber semula jadi. Bukan sahaja daripada segi pelancongan yang ada kaitan dengan ekonomi biru, tetapi juga dalam menjana ekonomi daripada sumber air dalam laut ataupun sungai,” katanya.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata, hasil perbincangan turut mengenal pasti keperluan terhadap pembangunan infrastruktur, pembiayaan serta keutamaan tertentu bagi membantu industri berkembang dengan lebih baik.

Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan Kerajaan Negeri menerusi pelan ekonomi biru Sabah Maju Jaya akan diperhalusi bersama kementerian berkaitan untuk dipertimbang dalam Belanjawan 2027 dan perancangan tahun-tahun berikutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.