
PASIR PUTEH, 16 Ogos – Kira-kira 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Maritim Malaysia Kelantan dalam dua operasi berasingan di sekitar Sungai Kelantan, Rabu dan Jumaat lalu.
- Empat lelaki warga asing ditahan di perairan Sungai Kelantan berhampiran belakang Pelangi Mall; tiga India, seorang Sri Lanka.
- 16 warga asing ditahan di tebing Sungai Kelantan berhampiran Tendong, Pasir Mas; umur antara 23 hingga 50 tahun.
- Tahanan terdiri daripada India, Sri Lanka, Indonesia dan Myanmar; sebahagian memiliki pasport tanpa rekod perjalanan sah.
- Enam tahanan tiada dokumen pengenalan; siasatan lanjut mengesyaki kaitan ejen Malaysia-Thailand dan kes di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, operasi dijalankan susulan maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan.
Katanya, dalam operasi pertama di perairan Sungai Kelantan berhampiran belakang Pelangi Mall, empat lelaki warga asing berusia antara 35 hingga 48 tahun ditahan.
“Mereka terdiri daripada tiga warga India dan seorang warga Sri Lanka,” katanya ketika sidang media di Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi kedua berhampiran Tendong, Pasir Mas, 16 warga asing berusia antara 23 hingga 50 tahun ditahan di tebing Sungai Kelantan.
Menurutnya, kesemua tahanan terdiri daripada warganegara India, Sri Lanka, Indonesia dan Myanmar.
“Sebahagian mereka memiliki pasport tetapi gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah, manakala enam lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Lokasi pendaratan juga berubah-ubah, namun berdasarkan kes ini, kita percaya terdapat kaitan antara ejen di Malaysia dan Thailand dengan bayaran tertentu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri dan rekod perjalanan yang sah.