PGA Briged Tenggara rampas 215 bungkus air ketum

PGA merampas 215 bungkus air ketum dan enam kilogram daun ketum di Rantau Panjang, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 16 Ogos – Kegiatan seorang lelaki menjual air ketum terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 215 bungkus air ketum dan enam kilogram (kg) daun ketum di Kampung Gual To’Deh, Rantau Panjang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan dalam serbuan PGA Briged Tenggara untuk siasatan.
  • Pemeriksaan menemui daun dan bungkus air ketum; rampasan dianggarkan bernilai RM2,497.50 dan dibawa ke IPD Pasir Mas.
  • Siasatan mendapati bekalan dihantar dua kali seminggu pada RM30 sekilogram; suspek jual RM10 sebungkus, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan dalam operasi kira-kira pukul 8.40 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal di rumah suspek tidak menemukan barang salah sebelum lelaki itu membawa anggota ke kawasan semak berhampiran kediamannya.

“Pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan 6kg daun ketum dan 215 bungkus air ketum berjumlah kira-kira 75.25 liter.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM2,497.50 dan suspek dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang lelaki di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang.

Menurutnya, bekalan itu dihantar dua kali seminggu pada harga RM30 sekilogram.

“Suspek kemudian menjual air ketum kepada penduduk sekitar Kampung To’Deh dan kenalan rapat pada harga RM10 sebungkus,” katanya.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

Semakan turut mendapati suspek pernah ditahan pada 2023 atas kesalahan sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.