
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Jaminan keselamatan simpanan menjadi antara faktor utama Tabung Haji (TH) kekal relevan sebagai platform kewangan umat Islam, khususnya bagi mereka yang mahu membina simpanan secara berdisiplin sebelum beralih kepada instrumen pelaburan yang lebih berisiko.
- Jaminan kerajaan memastikan simpanan Tabung Haji selamat, memberi keyakinan walaupun timbul isu semasa.
- Fungsi TH ialah mekanisme simpanan khusus untuk umat Islam mengumpul dana dan pendaftaran awal haji.
- Perbandingan dengan instrumen berpulangan tinggi tidak wajar tanpa menilai tahap keselamatan dan objektif simpanan.
- Golongan muda digalakkan imbangi kecenderungan cari pulangan tinggi dengan kefahaman risiko, disiplin simpanan dan matlamat kewangan.
Pensyarah Khas Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Lennora Putit berkata, walaupun TH tidak terlepas daripada pelbagai isu semasa dan sering dibandingkan dengan instrumen pelaburan yang menawarkan pulangan lebih tinggi, pendeposit perlu melihat ia berdasarkan fungsi dan tahap keselamatan yang ditawarkan, bukan semata-mata kadar pulangan.
“Walaupun kalau kita tengok isu semasa berkaitan TH itu sangat panas tetapi kita mesti ingat, walau apa juga isu yang melanda TH ini, simpanan kita masih dijamin 100 peratus selamat sebab kita ada jaminan kerajaan untuk penyimpanan.
Jadi ada yang mengatakan TH tidak relevan kerana isu ini, saya rasa itu tidak betul kerana kerajaan akan pastikan pulangan tersebut akan memihak kepada pendeposit,” katanya kepada RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia, Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Beliau berkata perspektif terhadap TH perlu kembali kepada asas iaitu institusi berkenaan diwujudkan sebagai mekanisme simpanan khusus bagi umat Islam untuk mengumpul dana bagi menunaikan haji, selain menyediakan kemudahan pendaftaran awal untuk mendapatkan giliran.
Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda sememangnya cenderung mencari instrumen yang menawarkan pulangan lebih tinggi, namun kecenderungan mengejar pulangan perlu diseimbangkan dengan kefahaman terhadap risiko.
“Pendekatan terhadap TH tidak seharusnya hanya berasaskan persoalan berapa tinggi pulangan, sebaliknya turut mengambil kira keselamatan modal, disiplin simpanan, matlamat kewangan dan akses kepada ekosistem pengurusan haji,” jelasnya lagi.