Colombia mahu AS gantung sementara pelaksanaan tarif

Foto AFP

BOGOTA, 16 Ogos – Presiden baharu Colombia, Abelardo de la Espriella menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, agar menggantung sementara pelaksanaan tarif perdagangan ke atas negaranya bagi membantu meringankan beban ekonomi susulan bencana gempa bumi dahsyat, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar tarif AS ke atas produk Colombia dinaikkan daripada 10% kepada 12.5% pada hujung bulan lalu.
  • Beberapa barangan utama seperti kopi dan minyak dikecualikan daripada kenaikan tarif.
  • Gempa 7.4 magnitud melumpuhkan Cali dan Pereira; hampir 13,000 kediaman musnah dan sekurang-kurangnya 300 nyawa; Trump menyampaikan takziah.

“Saya telah minta Trump untuk mempertimbangkannya bagi memberi ruang kepada peniaga yang kini berdepan waktu sukar akibat kesan gempa bumi,” kata De la Espriella menerusi hantaran di platform X.

Kadar tarif AS ke atas produk Colombia telah dinaikkan daripada 10 peratus kepada 12.5 peratus pada hujung bulan lepas.

Langkah tersebut mengecualikan beberapa barangan utama seperti kopi dan minyak.

Pelaksanaan tarif baharu itu berkuat kuasa pada 24 Julai bagi menggantikan kadar duti global terdahulu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump awal tahun ini.

Menurut De la Espriella, beliau telah berhubung menerusi telefon selama kira-kira 10 minit bersama Trump.

Dalam perbualan tersebut, pemimpin AS berkenaan turut menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang berlaku Isnin lalu.

Bencana gempa bumi tersebut melumpuhkan bandar Cali dan Pereira di bahagian barat Colombia, memusnahkan hampir 13,000 kediaman serta mengorbankan sekurang-kurangnya 300 nyawa.

Trump sebelum ini menyatakan sokongan terbuka kepada De la Espriella.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.