Projek PDF Lynas siap 77 peratus setakat Ogos

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa radioaktif yang dihasilkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mencapai kemajuan 77 peratus setakat 31 Ogos lalu, dengan 1.45 juta metrik tan daripada keseluruhan 1.467 juta metrik tan sisa Water Leach Purification (residu WLP) yang dihasilkan telah dipindahkan ke kemudahan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lynas diwajibkan menghentikan penghasilan residu radioaktif sebelum Mac 2031 dan merawatnya sehingga keaktifan kurang daripada 1 Bq/g.
  • Pendekatan menumpukan kepada pengurangan, kitar semula dan guna semula untuk pengurusan sumber mineral secara mampan dan selamat.
  • Jabatan Tenaga Atom menjalankan pemeriksaan berkala serta pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan Akta 304 dan syarat lesen.
  • Lesen operasi diperbaharui selama 10 tahun bermula 3 Mac 2026 dengan syarat lebih ketat dan semakan menyeluruh selepas lima tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, Lynas diwajibkan menghentikan penghasilan residu radioaktif sebelum Mac 2031, selain merawat residu berkaitan sehingga kepekatan keaktifannya kurang daripada satu Becquerel per gram (Bq/g).

“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan dan menghentikan penghasilan residu radioaktif melalui kitar semula atau guna semula, di samping memastikan pengurusan sumber mineral dilaksanakan secara mampan dan selamat.

“Dari segi mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, Jabatan Tenaga Atom melaksanakan pemeriksaan berkala serta pemantauan berterusan bagi memastikan operasi Lynas, pengurusan residu dan aktiviti berkaitan mematuhi Akta 304 serta semua syarat lesen yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mengenai status kemudahan PDF, jumlah sisa radioaktif terkumpul serta mekanisme bagi memastikan Lynas menghentikan penghasilan residu radioaktif menjelang 2031.

Menurut Datuk Chang, lesen operasi Lynas diperbaharui untuk tempoh 10 tahun bermula 3 Mac 2026, tertakluk kepada syarat yang lebih ketat serta semakan menyeluruh selepas lima tahun.

Jabatan Tenaga Atom akan terus memantau pematuhan syarat lesen dan sekiranya berlaku pelanggaran, lesen syarikat itu boleh digantung atau dibatalkan selaras dengan peruntukan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.