
SUNGAI BULOH, 15 Ogos – Pepatah ‘mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ tepat menggambarkan kejayaan pelumba muda Terengganu, Muhammad Naufal Iman Mohamad Fauzi, yang mengikut jejak langkah keluarganya dalam sukan berbasikal apabila berjaya merangkul pingat emas acara Cross-Country Olympic (XCO) lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
- Dibesarkan dalam keluarga berbasikal, Naufal, 19, menganggap sukan itu sebati sejak kecil.
- Bapa Fauzi Hashim ketua jurulatih Terengganu; abang Aiman juga jurulatih, memberi tunjuk ajar dan disiplin.
- Sokongan keluarga dan bantuan mendapatkan penaja Polygon membantu Naufal atasi kekecewaan tidak terpilih edisi lalu.
- Perancangan taktikal bapa hasilkan dominasi Terengganu sapu podium; Naufal sasar Sukan SEA, Olimpik dan kejohanan UCI di Seoul.
Bagi Naufal, 19, sukan berbasikal bukan sekadar minat, sebaliknya sudah sebati dalam darah dagingnya sejak kecil memandangkan dia dibesarkan dalam keluarga yang mendedikasikan hidup kepada sukan beroda dua berkenaan.
Kejayaan menguasai trek Denai Peladang Agro sejauh 18 kilometer dengan masa 1 jam 7 minit 28 saat turut mendapat sentuhan langsung daripada bapanya sendiri, Fauzi Hashim, yang bertindak sebagai ketua jurulatih skuad berbasikal Terengganu, manakala abangnya, Aiman Fauzi, turut bergelar jurulatih bagi pasukan Sarawak.
Naufal yang kini bergelar pelumba sepenuh masa mendedahkan sokongan padu keluarga menjadi tulang belakang utama di sebalik kemenangannya menebus kekecewaan selepas tidak terpilih pada temasya edisi lepas.
”Keluarga memang banyak membantu saya, terutamanya ayah dan abang. Mereka yang tolong carikan penaja (Polygon) dan beri tunjuk ajar sampai saya berada di tahap ini.
”Dua tahun lepas saya rasa diri belum cukup kuat, tapi bila tengok mereka dan pelumba idola lain beraksi di peringkat tertinggi, hasrat itu timbul dalam diri untuk jadi seperti mereka satu hari nanti,” katanya.
Lebih manis, percaturan taktikal yang dirangka bapanya membuahkan hasil luar biasa apabila Terengganu melakar dominasi mutlak dengan menyapu bersih ketiga-tiga pingat podium.
Rakan sepasukan, Saniy Syu’aib Mohd Safiee, merangkul perak (1:07:41), manakala Muhammad Effan Wafiy Nor Effandy meraih gangsa (1:10:12).
Meskipun Naufal memulakan perlumbaan dari barisan ketiga membuktikan bimbingan bapanya berhasil membentuk disiplin dan kematangan kayuhan biarpun baru melakukan kemunculan sulung di pentas SUKMA.
”Rasa berbaloi segala titik peluh selama dua tahun saya berlatih. Sakit dan penat semua saya curahkan hari ini.
”Pencapaian ini paling bermakna setakat ini, tetapi saya mahu bawa nama keluarga dan negara ke peringkat lebih tinggi. Insya-Allah sasaran seterusnya adalah memburu tiket ke Sukan SEA tahun depan dan impian utama saya ialah ke pentas Sukan Olimpik,” jelasnya.
Naufal dijadualkan menyertai siri kejohanan antarabangsa di Seoul, Korea Selatan pada 21 Ogos ini bagi terus mengumpul mata kedudukan antarabangsa Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).