SJKC Lee Min baharu perkukuh akses pendidikan masyarakat setempat

Foto RTM

KLANG, 15 Ogos — Majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Min Baharu hari ini menjadi titik bersejarah dalam usaha memperkukuh akses pendidikan serta menangani isu keselamatan dan banjir yang sering dihadapi sekolah berkenaan di lokasi asal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Selangor meluluskan perpindahan SJKC Lee Min pada Oktober 2024; pembinaan dijangka 18 bulan, sekolah beroperasi separuh kedua 2028.
  • Bangunan dirancang dengan 36 bilik darjah menampung 1,080 murid (30 murid setiap kelas), kapasiti boleh ditingkatkan sehingga 35 hingga 40.
  • Perpindahan perlu atasi keselamatan lalu lintas, ancaman haiwan berbisa dan banjir berkala; LPS dan penderma menggerakkan kutipan dana mematuhi garis panduan KPM.

Kerajaan Selangor meluluskan perpindahan SJKC Lee Min ke tapak baharu pada Oktober 2024, dengan tempoh pembinaan dijadualkan mengambil masa kira-kira 18 bulan. Sekolah berkenaan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, beliau pernah melawat sekolah berkenaan pada Februari 2024 dan permohonan pemindahan lokasi sekolah itu telah dibincangkan sebelum mendapat kelulusan.

Menurutnya, bangunan sekolah baharu itu dirancang dengan 36 bilik darjah yang mampu menampung seramai 1,080 murid dalam satu sesi persekolahan, berdasarkan kapasiti 30 murid bagi setiap kelas.

“Setiap bilik darjah dirancang untuk menampung 30 orang murid bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih selesa. Kapasiti tersebut boleh ditingkatkan kepada 35 orang murid dan dalam keadaan lebih padat, boleh menampung sehingga 40 orang murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan bangunan SJKC Lee Min, di sini, hari ini.

SJKC Lee Min merupakan sekolah bantuan kerajaan yang tanggungjawab pembinaannya dipikul oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), dengan sokongan daripada para penderma.

LPS telah menggerakkan kutipan dana sejak kira-kira satu setengah tahun lalu menerusi lebih 250 program, selain memastikan pelaksanaan projek mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Ekonomi.

Wong berkata, pembinaan sekolah baharu itu penting bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak di kawasan setempat, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan.

Dalam pada itu, KPM pada tahun lalu meluluskan permohonan perpindahan lokasi bagi lima SJKC, termasuk SJKC Lee Min, selain sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di Sandakan, Sabah.

Menurut Wong, perkembangan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan dapat disediakan di mana-mana sahaja, termasuk bagi masyarakat yang memerlukan pembinaan sekolah baharu atau perpindahan lokasi.

SJKC Lee Min memerlukan lokasi baharu berikutan isu keselamatan lalu lintas akibat pembangunan pesat kawasan perindustrian di sekitar sekolah.

Selain itu, sekolah berkenaan turut berdepan ancaman haiwan berbisa serta masalah banjir berkala yang semakin kerap berlaku ketika musim tengkujuh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.