
KUALA LUMPUR,15 Ogos – Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar enam peratus bagi suku kedua tahun ini, membuktikan tahap kecekapan serta keberkesanan pentadbiran Kerajaan MADANI bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Tadbir urus Kerajaan MADANI terbukti berkesan, meningkatkan produktiviti dan persekitaran kondusif untuk perniagaan berkembang.
- Prestasi ekonomi disokong aktiviti sebenar, daya tahan negara, dan keyakinan pelabur asing yang semakin kukuh.
- Peningkatan daya saing dan kedudukan antarabangsa membuka peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik lebih luas.
- Perpaduan kaum dan diplomasi yang kukuh memperkuat peluang ekonomi serta kualiti hidup rakyat perlu dihargai dan diperkukuh.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam kenyataan memaklumkan, prestasi mantap yang mengatasi jangkaan itu jelas menunjukkan keberkesanan tadbir urus ekonomi Kerajaan MADANI.
Ia sekali gus memperlihatkan daya tahan negara, tingkat produktiviti serta keyakinan pelaburan asing dan rakan antarabangsa yang kian kukuh.
“Pertumbuhan enam peratus yang lebih kukuh selepas 5.6 peratus pada suku pertama bukan sekadar angka di atas kertas. Lebih penting lagi, pertumbuhan ini disokong aktiviti ekonomi sebenar.
“Ia mencerminkan produktiviti tenaga kerja, daya saing industri, keyakinan pelabur serta pembaharuan yang berkesan bawah pentadbiran Kerajaan MADANI bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan berkembang,” menurut kenyataan itu.
Malaysia juga merekodkan peningkatan ketara bawah tadbir urus kerajaan yang menyaksikan prestasi negara melonjak daripada kedudukan ke-34 kepada kelompok 15 teratas bagi indeks daya saing ekonomi dunia yang diumumkan Institute for Management Development (IMD) awal tahun ini.
Momentum ekonomi Malaysia diperkukuhkan lagi berdasarkan petunjuk yang memberangsangkan, khasnya dalam sektor pelaburan dan perdagangan.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), lebihan dagangan kumulatif Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
“Melonjak sebanyak 159.8 peratus dari tahun ke tahun sehingga mencecah RM147.15 bilion—rekod bagi tempoh separuh tahun pertama—sekali gus menunjukkan bahawa kapasiti eksport negara kekal kukuh dan meraih keyakinan di peringkat global,” tambah kenyataan itu.
Prestasi ekonomi Malaysia juga turut mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik dan antarabangsa negara yang kukuh sekali gus membuka peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik lebih besar.
Dalam kenyataan sama, Nga Kor Ming turut berkongsi kenyataan positif Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn berkenaan keyakinan beliau terhadap
kemajuan ekonomi Malaysia serta penglibatan antarabangsa negara yang kian meningkat.
“Dr Kao juga bercakap secara positif tentang kemajuan ekonomi Malaysia dan kekuatan hubungan antarabangsa kita. Ini mencerminkan diplomasi yang baik oleh Perdana Menteri yang telah meningkatkan keyakinan serta penghormatan rakan-rakan antarabangsa terhadap Malaysia—ia sesuatu yang wajar dihargai di peringkat dalam negara juga.
“Hubungan antarabangsa yang kukuh membantu memperluas pasaran baharu, menarik pelaburan, memperkukuh perdagangan serta meletakkan Malaysia pada kedudukan yang strategik dalam ekonomi global dan rantau ini,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat ketika Dr Kao Kim Horn menghadiri sesi Meja Bulat Menteri ASEAN-China bagi membincangkan hal berkaitan Pembinaan dan Perumahan (AMROCH) yang bakal dilaksanakan di Ipoh awal bulan ini.
Dalam pada itu rakyat Malaysia harus mengiktiraf kemajuan yang berjaya dicapai selain bersatu padu dan terus menumpukan perhatian kepada usaha akan datang dalam memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang yang lebih baik serta kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi.
“Perbezaan politik merupakan sebahagian daripada demokrasi, namun kita tidak seharusnya membiarkan perbezaan menghalang kita daripada melihat kemajuan sebenar yang dicapai Malaysia. Jangan sesekali membiarkan persepsi negatif mengatasi merit dan prestasi.
“Angka-angka tersebut jelas untuk dilihat oleh semua: pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, kadar pengangguran terendah, prestasi perdagangan yang mencatatkan rekod tertinggi serta pelaburan yang diluluskan bernilai berbilion ringgit,” jelas Nga Kor Ming.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum, kepelbagaian perlu diraikan kerana perpaduan antara rakyat pelbagai kaum menjadi kekuatan dalam membina Malaysia yang lebih kukuh, produktif, berdaya saing dan makmur.