Sanggar Seni Merdeka angkat karya sastera Melayu lama

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pantun, seloka, gurindam dan sajak diketengahkan menerusi Sanggar Seni Merdeka 2026 dalam usaha memastikan karya sastera Melayu lama terus diwarisi generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anjuran Radio Klasik RTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Penyair Malaysia.
  • Bertemakan kemerdekaan; siaran pada 31 Ogos 2026, Radio Klasik dan RTM Klik, jam 9.15 malam.
  • Sasterawan Negara anggap penganjuran usaha bermakna dan menyeru kesinambungan untuk memartabatkan seni serta sastera tempatan.

Pengurus Radio Klasik, YM Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa berkata, program julung kali anjuran stesen radio RTM itu dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penyair Malaysia.

“Ia bertujuan untuk mengangkat kembali karya-karya ini agar menjadi satu budaya yang terus berkekalan untuk generasi akan datang.

“Program ini bertemakan kemerdekaan. Kita akan siarkan pada 31 Ogos 2026 di Radio Klasik dan di RTM Klik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi rakaman program berkenaan di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media, di sini.

Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari pula menyifatkan penganjuran itu sebagai usaha bermakna dalam memartabatkan seni dan sastera tempatan.

“Harapan saya, program ini bukan berhenti di sini. Harus berterusan kerana ini adalah satu usaha yang murni dan sangat bermakna,” katanya.

Program berkonsepkan “Bingkisan Bitara, Memugar Pusaka” itu diserikan dengan persembahan dua lagu klasik oleh Juara Bintang KLASIK 2025, Sitara Hakimi Halili dan Syaimaa Salleh.

Sanggar Seni Merdeka 2026 dijadualkan bersiaran di Radio KLASIK pada pukul 9.15 malam, 31 Ogos ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.