
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pemulihan kewangan serta pengurusan institusi lebih berhemah terus menjadi tumpuan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad.
- Menghalang penglibatan ahli politik aktif dalam Lembaga dan pengurusan bagi memastikan tadbir urus profesional dan elak penyalahgunaan kuasa.
- Memperkasa pengurusan risiko melalui kawalan dalaman, audit dalaman, pengawasan syariah dan disiplin pelaburan lebih ketat.
- Pengkhususan aset kepada instrumen berisiko sederhana dan rendah seperti pendapatan tetap dan sukuk bagi kemampanan dana dan perlindungan pendeposit.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kemampanan pengurusan dana serta memastikan kepentingan jangka panjang pendeposit terus terpelihara.
Jelas beliau, usaha itu selari beberapa syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
“Ini adalah institusi yang amat penting kepada negara dalam merealisasikan impian jutaan umat Islam untuk menunaikan haji.
“Bagaimanapun, pemulihan Tabung Haji bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya permulaan untuk membina institusi itu bagi masa hadapan.
“Kita tidak harus hanya memberi tumpuan kepada generasi sekarang, tetapi juga generasi akan datang,” katanya dalam program Bicara Naratif terbitan RTM.
Menurut Mustakim lagi, pengukuhan turut merangkumi aspek tadbir urus dengan menghalang penglibatan ahli politik dalam Lembaga Pengarah atau pengurusan TH bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Pengurusan risiko pula diperkasa menerusi kawalan dalaman, audit dalaman dan pengawasan syariah, selain penerapan disiplin pelaburan yang lebih ketat.
Dalam aspek pelaburan, TH kini memberi penekanan lebih besar kepada instrumen berisiko sederhana dan rendah berbanding pendedahan lebih tinggi kepada ekuiti sebelum ini.
“Kalau dahulunya alokasi aset lebih kepada ekuiti yang berisiko tinggi, sekarang pengkhususan atau alokasi lebih kepada pelaburan berisiko sederhana ataupun rendah, contohnya instrumen pendapatan tetap ataupun sukuk,” katanya.
Sebelum ini, RCI TH dalam laporannya mengesyorkan beberapa pembaharuan termasuk melarang ahli politik aktif menganggotai Lembaga TH serta memastikan pengurusan dana dan pelaburan dilaksanakan secara profesional tanpa campur tangan politik.
RCI turut mengesyorkan agihan keuntungan atau hibah dibuat berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit.
Dalam program sama, Mustakim memaklumkan TH sebelum ini melaksanakan fasa pertama misi Reformasi dan Pemerkasaan Semula (R2) dari 2018 hingga 2025 dengan menumpukan aspek pemulihan dan pengukuhan.
Menurutnya, keberkesanannya dapat dilihat menerusi perkembangan positif institusi, termasuk jumlah deposit yang kini mencecah RM95 bilion.
Dalam aspek pengurusan haji pula, TH memperoleh pengiktirafan kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labaytum Diamond selama dua tahun berturut-turut.