
KLANG, 14 Ogos – Sebanyak 1,259 kontena sisa elektrik dan elektronik (e-waste) disasarkan dibawa keluar dari Malaysia menjelang akhir tahun ini.
- 255 kontena e-waste telah dihantar keluar setakat ini, menurut Datuk Nik Ezanee.
- Fasa kedua mensasarkan pengeluaran 533 kontena daripada negara ini.
- Fasa ketiga bermula 1 Oktober untuk mengeluarkan baki 578 kontena.
- AKPS mengetatkan kawalan dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk JKDM untuk cegah kemasukan semula kontena.
Jelas Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, 255 kontena telah dihantar keluar setakat ini.
Bagi fasa kedua, pihaknya menyasarkan sebanyak 533 kontena untuk dikeluarkan dari negara ini.
“Setakat ini telah masuk fasa 2, sebanyak 255 kontena telah keluar dan kita akan gerakkan lagi. Untuk fasa 2 ini, kita sasar 533 kontena, manakala bagi fasa 3, kita sasar bermula pada 1 Oktober, kita akan keluarkan baki 578 kontena,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sidang Media Kes Penyeludupan pelbagai komoditi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di sini.
Tambahnya, AKPS turut memperketat kawalan bagi mengekang kemasukan semula kontena yang pernah dikeluarkan.
Tindakan itu jelasnya dilaksana menerusi kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan termasuk JKDM.