Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS menjelang pengumuman KDNK esok

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua esok, pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat selepas data inflasi AS seiring dengan jangkaan yang menyokong mata wang AS.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit diniagakan pada 4.0850/0890 berbanding dolar AS pada 6.00 petang, meningkat dari 4.0835/0875 Rabu.
  • Ekonom Bank Muamalat: pasaran tunggu dan lihat; anggaran awal KDNK suku kedua meningkat kepada 5.8% tahun ke tahun.
  • IPP meningkat 6.5% pada Jun; indeks volum perkhidmatan naik 5.9% suku kedua, disokong perdagangan borong, runcit, makanan dan penginapan.
  • IHP AS turun kepada 3.4% menunjukkan kenaikan kadar pada mesyuarat Fed September tidak pasti; perbezaan kadar mempengaruhi aliran pelabur.

Pada 6.00 petang ini, nilai ringgit meningkat kepada 4.0850/0890 berbanding dolar AS daripada paras 4.0835/0875 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang pengumuman esok oleh Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi ekonomi negara.

“Anggaran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua 2026 berkembang sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada suku pertama 2026 yang berada pada paras 5.4 peratus.

“Kemungkinan besar angka tersebut akan dicapai, atau mungkin melepasi jangkaan, berdasarkan penunjuk seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dan aktiviti perkhidmatan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

IPP Malaysia meningkat sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026, meneruskan momentum positif merentas semua sektor, manakala aktiviti perkhidmatan Malaysia diukur melalui indeks volum sektor itu meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, didorong oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan lebih kukuh, menurut DOSM sebelum ini.

Mengenai prestasi dolar AS, Mohd Afzanizam berkata penurunan kadar inflasi AS kepada 3.4 peratus menunjukkan bahawa keputusan kenaikan kadar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada bulan September bukanlah sesuatu yang pasti.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dikeluarkan semalam menunjukkan bahawa kadar faedah mungkin kekal pada mesyuarat September depan berbanding menaikkannya lagi. Oleh itu, ia berkisar mengenai perbezaan kadar faedah antara kadar AS dan kadar dasar semalaman serta yang mana lebih menarik kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5634/5660 daripada 2.5655/5682 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5119/5173 daripada 5.5180/5234 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding kepada 4.7120/7167 daripada 4.7107/7153.

Ringgit diniagkan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.67/6.68 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.3239/3412 daripada 12.3488/3665 sebelum itu.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit tidak berubah pada 228.4/228.8 daripada 228.4/228.7 ketika ditutup semalam, manakala berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1912/1945 daripada 3.1905/1941 ketika ditutup pada Rabu. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.