
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Skop Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dicadang diperluas kepada pembelian makanan berkhasiat termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar.
- Kerajaan menegaskan kos sara hidup mesti ditangani menyeluruh termasuk kos pengeluaran, rantaian bekalan, akses makanan berkhasiat, kos kesihatan dan perlindungan golongan terjejas.
- Cadangan dibawa ke Mesyuarat NACCOL seterusnya, termasuk semakan Beras Putih Tempatan dan mekanisme 'soft landing' beras bersubsidi untuk melindungi kumpulan rentan.
- Agensi diminta memperhalusi mekanisme termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan serta meneruskan inisiatif RESET dan sokongan kos pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan bukan sahaja membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, malah memperluas akses kepada pemakanan lebih sihat.
Tegas beliau, isu kos sara hidup tidak boleh dilihat daripada harga barangan di pasar raya semata-mata, bahkan perlu ditangani secara menyeluruh merangkumi kos pengeluaran dan rantaian bekalan, kemampuan mendapatkan makanan berkhasiat, kos kesihatan dan perlindungan golongan terjejas.
Cadangan berkenaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-18, hari ini untuk diangkat dan dipertimbangankan dalam Mesyuarat NACCOL seterusnya yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Pada masa sama, mesyuarat turut meneliti hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan kepentingan pengguna serta kelangsungan industri padi dan beras tempatan dapat diseimbangkan.
Antara yang diberi perhatian ialah cadangan mekanisme peralihan atau ‘soft landing’ melalui program beras bersubsidi bagi memastikan kumpulan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, kerajaan juga mengambil serius tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan, termasuk kesan perkembangan geopolitik, kos pematuhan import serta penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan.
Agensi berkaitan diminta terus memperhalusi mekanisme sedia ada, termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan bagi memastikan tekanan kos tidak membebankan pengguna.
Mengenai aspek kesihatan, mesyuarat turut mengambil maklum kemajuan 11 inisiatif RESET yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas akses dan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.
Dari aspek pendidikan pula, kerajaan kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan.
Berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, seramai 62,937 pelajar tingkatan enam dan universiti menerima bantuan pada tahun lalu, melibatkan nilai keseluruhan RM589.6 juta.
Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NACCOL, penyelarasan antara kementerian, agensi dan semua pihak berkepentingan perlu diperkukuh bagi memastikan setiap ikhtiar kerajaan memberi kelegaan kepada rakyat, meningkatkan kuasa beli dan mengurangkan tekanan kos sara hidup secara berterusan.