
KLEBANG, 13 Ogos – Cubaan sindiket dadah menyeludup bahan kimia dipercayai prekursor pemprosesan dadah bernilai RM4.958 juta melalui perairan Melaka gagal selepas ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Selasa lalu.
- Pasukan rondaan rutin Maritim Malaysia menemui enam kotak berisi 67 botol cecair prekursor dadah terkawal.
- Tiada tangkapan di lokasi kerana suspek dipercayai melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
- Barang kes diserahkan kepada pejabat Maritim untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952.
Pengarahnya, Salehuddin Zakaria berkata, penemuan itu dibuat oleh pasukan rondaan rutin Maritim Malaysia di pesisir Pantai Klebang kira-kira pukul 9:06 malam.
“Enam kotak dibalut plastik hitam mengandungi 67 botol cecair bahan kimia terkawal bagi kegunaan pemprosesan dadah sintetik di pasaran gelap ditemukan.
Tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salehuddin menambah, kejayaan tersebut merupakan rampasan bahan berkaitan dadah kali kedua yang direkodkan oleh Maritim Melaka dan Negeri Sembilan menerusi laluan laut.
Kesemua barang kes dibawa ke Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan serta kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain bagi membanteras jenayah rentas sempadan,” tegasnya.