
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Gimnas artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam kini berlumba dengan masa untuk mencapai tahap kecergasan terbaik menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Tetap bersemangat walau masih dibelenggu kecederaan lutut, tidak jadikan sebagai alasan untuk beraksi.
- Menjalani rawatan PRP dan memulakan semula proses pemulihan dari kosong demi mencapai kecergasan.
- Peluang beraksi di Sukan Asia menjadi pemangkin semangat, berusaha agar cergas sebelum berlepas.
Gimnas berusia 24 tahun itu masih dibelenggu kecederaan lutut, namun enggan menjadikan keadaannya itu sebagai alasan untuk melupakan hasrat beraksi di Jepun.
“Setakat ini, memang selepas balik daripada Komanwel saya bermula dari kosong semula sebab baru tahu kecederaan saya masih ada. Memang kecewa bila tahu kecederaan itu masih ada. Jadi, saya sudah menjalani PRP dan bermula semula daripada kosong untuk proses pemulihan. Saya harap sebelum berlepas ke Sukan Asia kali ini, saya sudah cergas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) ke venue latihan sukan gimnastik artistik, gimrama serta karate di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Sharul Aimy berkata peluang beraksi pada Sukan Asia yang hanya berlangsung setiap empat tahun menjadi pembakar semangat untuk meneruskan proses pemulihan.
Ketika ini, beliau menjalani rawatan suntikan plasma kaya platelet (PRP) sebagai antara usaha membantu pemulihan kecederaan lututnya.
“Saya akan cuba berikan segala yang saya ada untuk memastikan persiapan saya berjalan sebaik mungkin sebelum berlepas ke Jepun,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.