11 kawasan catat IPU tidak sihat, Serian sangat tidak sihat

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Ogos– Sebanyak 11 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3 petang tadi, manakala IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan sangat tidak sihat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan jerebu berlanjutan sejak 8 Ogos.
  • Fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya mengurangkan hujan, meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan jerebu.
  • Kualiti udara di Sarawak turut terjejas oleh jerebu rentas sempadan, kebakaran tapak pelupusan dan hutan; operasi pemadaman berjalan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, keadaan itu berlaku susulan situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos.

“Kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat ialah Cheras (122), Putrajaya (121), Shah Alam (112), Miri (152), Samalaju (120), Bintulu (154), Sibu (135), Sarikei (161), Sri Aman (158), Samarahan (177) dan Kuching (177). IPD Serian pula mencatat bacaan IPU 204, iaitu pada tahap sangat tidak sihat,” menurut kenyataan itu.

Fenomena El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya menyebabkan beberapa kawasan menerima taburan hujan lebih rendah daripada purata.

Ia sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan kejadian jerebu.

Di Sarawak, kemerosotan kualiti udara turut dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Ia juga didorong kebakaran di tapak pelupusan sampah bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu dan kebakaran hutan serta belukar di Sri Aman.

Operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi.

“Cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN dan berpotensi meningkatkan kejadian titik panas serta risiko jerebu rentas sempadan.

“Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka, minum air secukupnya dan mengelakkan pembakaran terbuka bagi menghindari keadaan jerebu menjadi lebih buruk,” menurut kenyataan itu lagi.

Berdasarkan status IPU, bacaan 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.