85 PATI ditahan dalam operasi gempur Chow Kit

Foto Jabatan Imigresen Malaysia WP Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Seramai 85 pendatang asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersasar di sekitar Jalan Chow Kit, awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 178 individu diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersasar.
  • Kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen sah, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan kad pengenalan tidak diiktiraf.
  • Tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan.
  • Operasi melibatkan 52 pegawai sebagai sebahagian Operasi Penguatkuasaan Serentak seluruh negara berdasarkan risikan.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), dalam operasi itu, seramai 178 individu diperiksa sebelum 85 warganegara asing berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan, terdiri daripada 68 lelaki dan 17 perempuan.

“Pecahan tangkapan mengikut kewarganegaraan membabitkan 41 warga Indonesia, masing-masing 25 lelaki dan 16 perempuan dan 24 lelaki warga India.

Turut ditahan, 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga Pakistan serta seorang perempuan warga Myanmar,” menurut kenyataan itu.

JIM WPKL memaklumkan, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas yang dikeluarkan serta memiliki kad pengenalan diri yang tidak diiktiraf.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan.

Operasi melibatkan 52 pegawai penguat kuasa itu merupakan sebahagian daripada Operasi Penguatkuasaan Serentak Seluruh Negara dan dilaksanakan susulan risikan serta pemantauan yang mendapati kawasan penempatan berkenaan mempunyai kepadatan warganegara asing yang tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.