
MIRI, 11 Ogos – Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut selepas diserang buaya ketika mencari siput bersama-sama anaknya di Sungai Suai, Batu Niah, pada Selasa.
- Seekor buaya muncul, menyambar dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
- Anak mangsa menyaksikan kejadian dari dalam sungai, kira-kira satu meter dari perahu.
- Reptilia melepaskan mangsa selepas dikepung penduduk; mayat dijumpai terapung dan dibawa ke jeti.
- Pasukan bomba tiba 11.58, operasi melibatkan lima anggota, sebuah jentera FRT dan lima anggota polis; ditamatkan 1.45 tengah hari.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.26 pagi ketika mangsa, Sambai Anggah, berada di dalam sebuah perahu.
“Seekor buaya muncul sebelum menyambar dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
“Anak mangsa yang ketika itu berada di dalam sungai, kira-kira satu meter dari perahu, menyaksikan kejadian berkenaan.
“Reptilia tersebut kemudian melepaskan mangsa selepas dikepung penduduk kampung yang berada di lokasi, ” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudian ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke jeti.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah yang tiba di lokasi pada pukul 11.58 pagi menjalankan pemantauan serta memastikan keadaan di kawasan berkenaan selamat dan terkawal.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan lima anggota bomba dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) selain lima anggota Polis Diraja Malaysia.
Operasi ditamatkan pada pukul 1.45 tengah hari.