
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP 2.0) 2026-2035 dijangka mampu menghasilkan penjimatan utiliti sebanyak RM85.24 bilion dalam tempoh 10 tahun.
- NEEAP 2.0 berpandukan EACA, meliputi penggunaan tenaga elektrik dan terma untuk kecekapan lebih menyeluruh.
- Tumpuan kepada tiga segmen utama: perindustrian, domestik dan komersial, memastikan impak menyeluruh.
- Empat teras strategik meliputi pelaksanaan kecekapan, latihan semula tenaga kerja, pembiayaan mampan dan pemudahcara pelaburan swasta.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelan itu menyasarkan peningkatan kecekapan penggunaan tenaga elektrik dan termal sebanyak 11.6 peratus, dengan anggaran penjimatan tenaga terkumpul sebanyak 815,382 terajoule (TJ) berbanding keadaan biasa (BAU).
“Dalam fasa kedua ini, sudah pasti NEEAP 2.0 akan berpandukan dan diselaraskan dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EACA) yang telah diluluskan di Parlimen pada 2024. Sehubungan itu, tumpuan NEEAP 2.0 bukan hanya kepada penggunaan tenaga elektrik, tetapi turut merangkumi tenaga terma.
“Ini merupakan antara langkah paling efektif untuk memastikan penggunaan tenaga lebih cekap secara menyeluruh kerana kita turut memberi tumpuan kepada tiga segmen utama, iaitu sektor perindustrian, domestik dan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026, di sini.
Tambahnya, pelan itu turut memberi tumpuan kepada empat teras strategik, merangkumi pelaksanaan pelan kecekapan tenaga, peningkatan dan latihan semula kemahiran tenaga kerja, mekanisme pembiayaan mampan serta pemudahcara inisiatif dan pelaburan sektor swasta.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, usaha meningkatkan bekalan tenaga bersih perlu bergerak seiring dengan perubahan kaedah penggunaan tenaga.
“Dalam tempoh 10 tahun, NEEAP pertama berjaya menghasilkan penjimatan elektrik sebanyak 60,886 gigawatt-jam (GWh), melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 52,233 GWh.
“Pencapaian ini bersamaan dengan anggaran pengurangan pelepasan sebanyak 35.6 juta tan karbon dioksida setara (CO₂eq) serta penjimatan kira-kira RM16.1 bilion,” katanya lagi.
Pelancaran NEEAP 2.0 sekali gus dapat melengkapi Dasar Tenaga Negara 2022-2040, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).