TH kembali kukuh, catat pendapatan pelaburan tertinggi

Foto FB Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dan mampan hasil pelaksanaan pelan pemulihan serta reformasi institusi sejak 2018.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH catat pendapatan pelaburan tertinggi RM4.64 bilion pada 2025 hasil peningkatan kualiti pelaburan dan tadbir urus.
  • Kadar Agihan Keuntungan meningkat berperingkat daripada 1.25% pada 2018 kepada 3.5% pada 2025.
  • Pemulihan dicapai melalui penstrukturan dan reformasi tanpa campur tangan Kerajaan, walaupun mengambil kira RM2.6 bilion aset legasi bermasalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penstrukturan semula aset dan liabiliti berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH, selain membersihkan kunci kira-kira serta membina semula rizab kewangan yang lebih kukuh.

Menurut beliau, TH turut mencatatkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, hasil peningkatan kualiti pelaburan serta pengukuhan tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan institusi.

“Hasilnya, di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik, tanpa campur tangan Kerajaan,” katanya dalam Sidang khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata, kadar Agihan Keuntungan TH meningkat secara berperingkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Pencapaian itu direkodkan walaupun TH mengambil kira RM2.6 bilion aset legasi bermasalah sejak sebelum 2018 yang perlu dirosot nilai secara berperingkat sehingga 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.