
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Sebanyak 42 projek tenaga boleh baharu (TBB) diluluskan menerusi tarif galakan atau ‘Feed-in Tariff’ (FiT) 2026 secara e-bidaan, dengan jumlah pelaburan dianggarkan mencecah RM4.3 bilion.
- SEDA Malaysia menerima 48 permohonan bagi sumber biogas, biojisim dan hidroelektrik kecil, dengan kapasiti eksport bersih 370.480 MW.
- Jumlah kapasiti diluluskan sebanyak 331.355 MW selepas penilaian menyeluruh.
- Projek terdiri daripada 16 biogas (26.185 MW), 11 biojisim (135.94 MW) dan 15 hidroelektrik kecil (169.23 MW).
- Pelaksanaan dijangka mewujudkan permintaan sekitar RM617 juta untuk enjin gas dan dandang keluaran tempatan serta kira-kira 7,738 peluang pekerjaan tidak langsung.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek berkenaan melibatkan kapasiti keseluruhan sebanyak 331.355 megawatt (MW) merangkumi sumber biogas, biojisim dan hidroelektrik kecil.
“SEDA Malaysia menerima 48 permohonan bagi sumber biogas, biojisim dan hidroelektrik kecil, dengan jumlah kapasiti eksport bersih sebanyak 370.480 megawatt.
“Selepas penilaian menyeluruh, sebanyak 42 permohonan dengan jumlah kapasiti yang diluluskan sebanyak 331.355 megawatt telah berjaya dianugerahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026, di sini, hari ini.
Jelas beliau, projek yang diluluskan itu terdiri daripada 16 projek biogas dengan kapasiti keseluruhan 26.185 MW, 11 projek biojisim berkapasiti 135.94 MW serta 15 projek hidroelektrik kecil dengan kapasiti 169.23 MW.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan dijangka mewujudkan permintaan sekitar RM617 juta bagi enjin gas dan dandang keluaran tempatan, selain menjana kira-kira 7,738 peluang pekerjaan tidak langsung.
“Inilah hasil yang kita sasarkan, iaitu lebih banyak TBB, rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan serta nilai ekonomi yang nyata kepada negara,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan usaha kerajaan memperluas penggunaan TBB, selain memperkukuh penyertaan industri tempatan dalam rantaian bekalan sektor tenaga.