
MONTREAL, 10 Ogos- Kanada merekodkan kematian pertama akibat kebakaran hutan di British Columbia selepas seorang wanita berusia 80 tahun maut ketika cuba meninggalkan kediamannya untuk menyelamatkan diri.
- Kebakaran Summerland bermula Jumaat berhampiran Tasik Okanagan, merebak pantas, memaksa lebih 20,000 penduduk dipindahkan dan darurat diisytiharkan.
- Kebakaran merebak ke lebih 13,600 hektar setakat lewat Ahad dan masih belum dapat dikawal menurut Perkhidmatan Kebakaran Hutan BC.
- Pada Sabtu, kira-kira 50 orang dipindahkan menggunakan helikopter selepas kebakaran memaksa penduduk meninggalkan kediaman pada waktu malam.
- Lebih 100 kebakaran hutan aktif dilaporkan di seluruh wilayah dan agensi jangkakan risiko tinggi kebakaran baharu akibat petir dan hujan rendah.
Kebakaran Summerland yang tercetus pada Jumaat berhampiran Tasik Okanagan merebak dengan pantas dan memaksa lebih 20,000 penduduk dipindahkan, selain pihak berkuasa mengisytiharkan darurat.
Menurut Perkhidmatan Kebakaran Hutan British Columbia, kebakaran itu telah merebak ke kawasan seluas lebih 13,600 hektar setakat lewat Ahad dan masih belum dapat dikawal.
Polis Diraja Kanada (RCMP) berkata wanita dari Meadow Valley itu sedang cuba meninggalkan rumah bersama seorang anggota keluarganya akibat kebakaran berkenaan apabila dia dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba.
Tiada kematian lain dilaporkan setakat ini.
Pada Sabtu, pasukan kecemasan memindahkan kira-kira 50 orang menggunakan helikopter selepas kebakaran Summerland memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka pada waktu malam.
Perkhidmatan Kebakaran Hutan British Columbia melaporkan lebih 100 kebakaran hutan aktif di seluruh wilayah itu setakat lewat Ahad.
Agensi berkenaan menjangkakan risiko tinggi kebakaran baharu akibat panahan petir khususnya di kawasan pedalaman tengah dan Okanagan yang menerima taburan hujan rendah serta petir kering. -AFP