
BEIJING, 10 Ogos – Taufan Dolphin yang membadai dengan membawa hujan lebat ke kawasan timur China pada Isnin, menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan meskipun ia semakin melemah dan beberapa bandar kembali menyambung operasi pengangkutan awam.
- NMC amaran hujan lebat berterusan di timur dan tengah China; amaran banjir kilat tertinggi dikeluarkan untuk beberapa kawasan Zhejiang.
- Hujan lebat menghentikan operasi lapangan terbang; 943 penerbangan di dua lapangan terbang Shanghai dibatalkan menurut pihak berkuasa.
- Beijing dan utara China dijangka hadapi cuaca ekstrem; lima daerah di Beijing keluarkan amaran merah untuk hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.
Taufan itu hilang kekuatan selepas dua kali membadai pesisir wilayah Zhejiang pada Ahad, dengan Pusat Meteorologi Kebangsaan China (NMC) mengeluarkan amaran taufan tahap paling rendah pada pagi Isnin.
Bagaimanapun, NMC memberi amaran bahawa beberapa kawasan di timur dan tengah China masih akan menerima hujan lebat dalam tempoh sehari berikutnya.
“Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kilat tahap tertinggi bagi beberapa kawasan di timur dan selatan Zhejiang pada Isnin, ” lapor stesen penyiaran CCTV.
Pihak berkuasa lapangan terbang pula menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, hujan lebat yang melanda di timur China menyebabkan 943 penerbangan di dua lapangan terbang di Shanghai terpaksa dibatalkan.
Perkhidmatan pengangkutan awam termasuk kereta api di hab kewangan itu turut dihentikan sementara.
Sementara tu, Lapangan Terbang Antarabangsa Ningbao di wilayah Zhejiang kembali menyambung semula operasi penerbangan pada tengah hari, waktu tempatan (0400 GMT), namun memberi amaran bahawa sesetengah penerbangan mungkin masih mengalami kelewatan atau pembatalan kerana kesan taufan masih belum reda sepenuhnya.
Ibu negeri Zhejiang, Hangzhou, menyambung semula perkhidmatan kereta api bawah tanah pada pagi Isnin selepas menghentikan beberapa operasi tren pada Ahad.
Utara China dijangka berdepan cuaca ekstrem minggu ini dengan lima daerah di Beijing mengeluarkan amaran merah berhubung hujan lebat pada Isnin. Beberapa kawasan turut memberi amaran mengenai risiko tanah runtuh dan banjir.
Taufan Dolphin mencetuskan amaran tahap tertinggi pada hujung minggu, menyebabkan lebih 1,000 penerbangan dibatalkan dan puluhan ribu penduduk dipindahkan.
Ia membadai hanya dua minggu selepas Taufan Noul melanda wilayah Guangdong di selatan China. Pihak berkuasa ketika itu menyifatkannya sebagai ribut paling kuat melanda China tahun ini.
Cuaca ekstrem di selatan dan tengah China bulan lepas juga menyebabkan 39 kematian selepas Taufan Maysak menyebabkan banjir buruk di wilayah selatan, Guangxi.
Maysak turut membawa ribut petir dan angin kencang yang mengorbankan 11 orang dan mencederakan 331 yang lain di wilayah tengah, Hubei. – AFP