Veteran ATM perlu terus diberi ruang menyumbang kepada negara – Wan Azizah

Foto BERNAMA

SERI KEMBANGAN, 9 Ogos – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilihat sebagai aset negara yang masih produktif dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, bukan sekadar penerima bantuan selepas bersara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naratif perlu diubah dari meminta simpati kepada membina empati, memperkasa veteran agar mampu berdikari.
  • Sokong Kempen Tabung Pahlawan untuk bantu veteran dan waris melalui bantuan kelangsungan hidup, perubatan dan pendidikan anak-anak.
  • Perkukuh kerjasama kerajaan, persatuan veteran dan sektor swasta untuk peluang kerjaya kedua, keusahawanan, serta galakkan gaya hidup sihat melalui sukan.

Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata naratif terhadap golongan veteran perlu diubah daripada sekadar meminta simpati kepada membina empati, selain daripada penerima bantuan kepada golongan yang mampu diperkasa untuk berdikari.

“Veteran tentera bukanlah pesara biasa mereka masih di puncak usia produktif, memiliki disiplin yang kental, jati diri yang utuh dan kemahiran teknikal yang sangat berharga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari dan Penyampaian Hadiah sempena ‘MyHeroes Golf Championship Cup 2026’ (MYGCC 2026), yang turut menjadi sebahagian daripada agenda Kempen Tabung Pahlawan bagi mengumpul dana kebajikan dan pemerkasaan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus menyokong Kempen Tabung Pahlawan, yang menjadi antara platform penting bagi membantu veteran dan waris mereka menerusi bantuan kelangsungan hidup, perubatan serta pendidikan anak-anak.

Beliau berkata, perkembangan positif sumbangan daripada masyarakat awam dan sektor korporat membuktikan semangat kebersamaan dalam menghargai jasa serta pengorbanan wira negara.

Beliau berkata, usaha memperkasa veteran perlu diperkukuh menerusi kerjasama kerajaan, persatuan veteran dan sektor swasta, khususnya dalam menyediakan peluang kerjaya kedua serta ruang keusahawanan.

Jelas beliau, pendekatan itu selari dengan agenda Malaysia MADANI bagi memastikan golongan veteran terus mempunyai peranan dalam pembangunan negara selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Mengulas lanjut aspek kesihatan, Datuk Seri Dr Wan Azizah mengingatkan veteran supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, selaras dengan perubahan demografi Malaysia yang dijangka menjadi negara tua menjelang 2048.

Justeru, aktiviti seperti sukan golf bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup aktif, malah membantu mengekalkan fokus, stamina dan kesihatan fizikal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.