Nahas maut WCE: Pemandu lori negatif ujian air kencing

Anggota bomba menjalankan kerja menyelamat dalam kejadian nahas jalan raya di WCE/Foto Bomba

TELUK INTAN, 9 Ogos – Pemandu lori yang terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 156.9 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan berhampiran Teluk Intan, pagi semalam, negatif ujian saringan air kencing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang wanita 54 tahun penumpang hadapan tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian.
  • Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; sampel darah diambil untuk ujian toksikologi.
  • Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori mengundur di susur keluar tapak pembinaan R&R menyebabkan perlanggaran berantai antara beberapa kenderaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, pemandu lori berusia 31 tahun itu bagaimanapun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif, manakala sampel darah pemandu tersebut telah diambil bagi ujian toksikologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam nahas kira-kira 7 pagi itu, seorang wanita berusia 54 tahun yang juga penumpang hadapan salah sebuah kereta tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Chua berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu salah sebuah kereta mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan lokasi nahas di WCE yang melibatkan beberapa kenderaan/Foto Polis Perak

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan mengundur di susur keluar tapak pembinaan R&R Teluk Intan.

“Sebuah kereta kemudian melanggar bahagian hadapan kanan lori tersebut sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.