Malaysia-Fiji tubuh Majlis Perniagaan, perkukuh kerjasama ekonomi

Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Luar Republik Fiji, TYT Sakiasi Raisevu Ditoka, mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 12 Ogos.

PUTRAJAYA, 9 Ogos – Malaysia dan Fiji bakal memperkukuh hubungan ekonomi menerusi penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Fiji yang akan dirasmikan sempena lawatan kerja Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Luar Republik Fiji, TYT Sakiasi Raisevu Ditoka, ke Malaysia bermula hari ini hingga 12 Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Perniagaan Malaysia-Fiji dijangka menjadi platform bagi sektor swasta meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.
  • Kerjasama akan diperluas dalam pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu serta pertukaran kebudayaan.
  • Pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur mencerminkan komitmen memperkukuh hubungan dua hala.

Penubuhan majlis berkenaan dijangka menjadi platform bagi sektor swasta kedua-dua negara meneroka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan, selain memperluas kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Sakiasi turut membuka ruang kepada Malaysia dan Fiji untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu serta kebudayaan.

“Sepanjang lawatan, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi membincangkan peluang kerjasama ekonomi serta isu serantau yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu turut menyaksikan pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Fiji pada 2025 bernilai RM880.01 juta, dengan eksport Malaysia ke Fiji berjumlah RM867.92 juta manakala import dari Fiji sebanyak RM12.09 juta.

Penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Fiji dilihat dapat membantu meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, khususnya dengan memperluas jaringan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Fiji.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.