Selangor sasar 50 peratus anak penerima bantuan JKM dapat peluang kerjaya

Anfaal Saari

SHAH ALAM, 8 Ogos – Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada anak penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor berusia 16 tahun ke atas disasarkan mendapat padanan dengan peluang latihan dan pekerjaan yang bersesuaian.

Exco Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, menerusi Program Aspirasi Kerjaya JKM Selangor ia menyediakan platform untuk menghubungkan anak penerima bantuan dengan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Aspirasi Kerjaya JKM Selangor menghubungkan anak penerima bantuan dengan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan mengikut keperluan semasa.
  • Matlamat untuk membantu mereka memperoleh kemahiran, menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan bagi memutuskan kitaran kemiskinan.
  • Program melibatkan agensi seperti Selangor Technical Development Centre dan Akademi Kemahiran Belia Golf melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu golongan berkenaan membina masa depan yang lebih baik dan memutuskan kitaran kemiskinan.

“Hari ini sahaja, seramai 100 pelajar atau penerima bantuan yang berada di institusi pendidikan terlibat dalam program ini. Kita mahu melaksanakannya secara berperingkat supaya anak-anak penerima bantuan dapat memperoleh kemahiran, menamatkan pengajian dan seterusnya ditempatkan di syarikat dalam sektor industri.

“Dengan memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, mereka diharapkan dapat keluar daripada tahap pendapatan minimum yang melayakkan mereka menerima bantuan. Inilah antara usaha untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik melalui pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Aspirasi Kerjaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor di sini.

Bagi mencapai matlamat itu, anak penerima bantuan berusia 16 tahun ke atas dipadankan dengan agensi serta institusi latihan yang menyediakan pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan.

Antara institusi yang terlibat ialah Selangor Technical Development Centre (STDC) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sehingga Julai 2026, seramai 59,064 penerima direkodkan menerima bantuan JKM di Selangor. Bagaimanapun, program ini tidak menyasarkan keseluruhan penerima, sebaliknya memberi fokus kepada keluarga yang mempunyai anak berusia 16 tahun ke atas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.