
LANGKAWI, 8 Ogos – Pulau Langkawi berpotensi diangkat sebagai Hab Digital Art Nomad pada tahun hadapan dalam usaha memperluas jaringan seni kreatif antara penggiat tempatan serta antarabangsa.
- Cadangan masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Digital dan berpandukan hasil kajian lapangan.
- Balai Seni Negara berharap Printlab International dapat dilaksanakan untuk menyokong inisiatif seni kreatif.
- Program bertujuan melibatkan digital nomad seni kreatif dan memudahkan pertukaran maklumat dengan masyarakat serta seniman tempatan.
- Pameran Printlab memaparkan karya Chetak 17 dan siri Printmaking In-Situ yang merakam landskap, budaya serta warisan Langkawi.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Digital dan dibuat berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan sebelum ini.
Menurut beliau, Balai Seni Negara turut berharap program Printlab International dapat segera dilaksanakan bagi menyokong hasrat tersebut.
“Kami berharap Printlab International dapat kita realisasikan pada tahun hadapan dan kami berhasrat melibatkan digital nomad yang berkaitan dengan seni kreatif di Malaysia.
“Melalui program ini, kita mahu berlaku pertukaran maklumat bersama masyarakat tempatan dan seniman tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Printlab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian di Balai Seni Negara Langkawi, di sini, hari ini.
Pameran itu menghimpunkan karya seni cetak sembilan ahli kumpulan Chetak 17 yang mengetengahkan pelbagai tema termasuk alam semula jadi, budaya dan pengalaman kehidupan.
Turut dipersembahkan siri Printmaking In-Situ – Lakar Terus yang dihasilkan secara langsung di beberapa lokasi sekitar Langkawi sebelum diproses dan dicetak di Studio Seni Cetak Balai Seni Negara Langkawi.
Pendekatan itu memberi ruang kepada seniman merakam serta mentafsir landskap, budaya dan warisan Langkawi menerusi karya seni cetak.