
DUNGUN, 8 Ogos – Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24 tahun, anggota polis yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah pada Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
- Jenazah tiba di kediaman keluarga pada pukul 11.30 malam untuk penghormatan terakhir serta solat.
- Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat, dan kira-kira 200 pegawai, anggota, keluarga serta rakan hadir.
- Jenazah diterbangkan dari KKIA, Sabah menggunakan pesawat TUDM dan mendarat di Pangkalan Udara Kuantan sekitar pukul 9.20 malam.
Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi terdahulu, tiba di kediaman keluarganya pada pukul 11.30 malam untuk penghormatan terakhir serta solat.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat dan kira-kira 200 pegawai, anggota polis, ahli keluarga serta rakan Allahyarham Muhammad Raimi.
Sebelum itu, jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendarat di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada pukul 9.20 malam.
Dalam kejadian petang Khamis, tiga anggota polis dilaporkan maut dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort.
Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu masing-masing Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 tahun dan Koperal Chiu Teck Siong, 40 tahun.