
SANDAKAN, 8 Ogos – Pelaksanaan pelan komprehensif meliputi keseluruhan aspek keselamatan sedia dilaksana di semua lapangan terbang dalam negara.
- Pelan penambahbaikan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
- Pelan terperinci dirangka bersama pelbagai agensi untuk memperkukuh tahap keselamatan penerbangan.
- Langkah segera termasuk memperketat pemeriksaan bagasi dan kawalan penumpang.
- Jemaah Menteri memandang serius insiden yang boleh menjejaskan imej negara serta menimbulkan persepsi kelemahan kawalan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyatakan komitmen itu menjelaskan pelan penambahbaikan itu bakal dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
“Pelan terperinci itu dirangka dengan penglibatan pelbagai agensi bertujuan memastikan tahap keselamatan terus diperkukuh.
“Langkah segera juga sedang diambil merangkumi keseluruhan aspek keselamatan termasuk proses pemeriksaan bagasi dan kawalan penumpang.
“Jemaah Menteri memandang serius insiden yang berlaku yang disifatkan boleh menjejaskan imej negara serta menimbulkan persepsi wujud kelemahan dalam sistem kawalan sedia ada,”katanya dalam sidang media.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang menjadi perhatian susulan beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia, termasuk penahanan seorang juruterbang selepas kira-kira 25 kilogram dadah dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lepas.