Runtuhan Salji Broad Peak: Lima pendaki terkorban diberi penghormatan terakhir

Foto REUTERS

SKARDU, 7 Ogos – Mayat lima pendaki termasuk pendaki terkenal British-Nepal, Nirmal Purja, diterbangkan ke bandar Skardu di utara Pakistan selepas terkorban dalam kejadian runtuhan salji di Broad Peak minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa, pegawai tentera dan wakil Kelab Alpine Pakistan memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa.
  • Mayat ditempatkan dalam keranda yang diselubungi bendera negara masing-masing dan diberi penghormatan rasmi.
  • Urusan penghantaran seterusnya ke Islamabad diatur sebelum penghantaran pulang ke negara asal keluarga mangsa.
  • Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada porter, pasukan penyelamat dan pendaki atas usaha dalam cuaca dan muka bumi mencabar.

Menurut Kelab Alpine Pakistan, kesemua mangsa dibawa menggunakan helikopter Tentera Pakistan ke Hospital Tentera Gabungan (Combined Military Hospital) Skardu pada Khamis.

Purja, 43, yang mengetuai ekspedisi 10 pendaki ke gunung setinggi 8,051 meter itu dilaporkan hilang hubungan pada 30 Julai selepas runtuhan salji melanda kawasan berkenaan. Syarikatnya kemudian mengesahkan tiada mangsa yang terselamat dalam tragedi itu.

Empat lagi mangsa ialah Wang Zhong, Nima Sherpa, Gyalu Sherpa dan Killi Pemba “Kilu” Sherpa.

Pihak berkuasa tempatan, pegawai tentera serta wakil Kelab Alpine Pakistan hadir memberikan penghormatan terakhir dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Kesemua mayat ditempatkan dalam keranda yang diselubungi bendera negara masing-masing sebelum diberikan penghormatan rasmi mengikut istiadat negara.

Urusan seterusnya melibatkan penghantaran ke Islamabad sebelum dibawa pulang ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut merakamkan penghargaan kepada porter altitud tinggi, pasukan penyelamat dan pendaki yang terlibat dalam operasi membawa keluar mangsa dalam keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang mencabar.

Kelab Alpine Pakistan memaklumkan, empat daripada lima jenazah berkenaan berjaya ditemui pada 2 Ogos sebelum diterbangkan ke kem pangkalan pada 5 Ogos, manakala seorang lagi telah dipindahkan lebih awal.

Cuaca buruk bagaimanapun menangguhkan proses penghantaran ke Skardu sehingga keadaan kembali baik.

Sementara itu, dua lagi mangsa runtuhan salji, iaitu Nadhira Ahmed Abdullah Al Harthy dari Oman dan Pur Bahadur Gurung dari Nepal, telah ditemui lebih awal dan diterbangkan ke Skardu dalam penerbangan berasingan.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan sekiranya terdapat pendaki lain yang masih hilang.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.