Penutupan pangkalan haram kekang penyeludupan di Kelantan

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusof / Foto Fail BERNAMA

KOTA BHARU, 7 Ogos – Penutupan pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand telah mengganggu pergerakan dan rangkaian transit sindiket penyeludupan, sekali gus menyumbang kepada penurunan ketara kes penyeludupan yang dikesan di Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN memperkukuh kawalan sempadan dengan penempatan anggota statik di stesen minyak dan rondaan berterusan.
  • Operasi dilaksanakan tujuh hari seminggu, tertumpu di sempadan untuk mengekang ketirisan barang kawalan dan bahan api bersubsidi.
  • KPDN menyambut baik cadangan Thailand bina benteng kerana ia dapat memperkukuh kawalan rentas sempadan.
  • Tinjauan Bernama di Sungai Golok menunjukkan jualan petrol dan diesel disyaki diseludup semakin berkurangan dan tidak lagi dijual secara terbuka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Hanif Yusabra Yusof berkata tindakan menutup laluan haram itu menyebabkan sindiket berdepan kesukaran menggerakkan aktiviti penyeludupan kerana akses dan laluan transit mereka terjejas.

“Kalau dibandingkan dengan keadaan sebelum pangkalan haram ditutup dan hari ini, penurunannya sangat signifikan dari segi kes penyeludupan yang kita kesan dan tangkap.

“Apabila akses untuk aktiviti tersebut ditutup, kawalan pihak penguat kuasa menjadi lebih baik dan ia banyak membantu operasi penguatkuasaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata KPDN turut memperkukuh kawalan di kawasan sempadan menerusi penempatan anggota secara statik di stesen minyak selain rondaan berterusan sebagai sebahagian daripada operasi rutin.

Beliau berkata operasi itu dilaksanakan tujuh hari seminggu dengan tumpuan di kawasan sempadan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.

Mengulas cadangan Thailand membina benteng di kawasan sempadan, Hanif Yusabra berkata KPDN Kelantan mengalu-alukan langkah itu kerana ia dijangka dapat memperkukuh kawalan rentas sempadan dan seterusnya menyukarkan lagi pergerakan sindiket penyeludupan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di bandar Sungai Golok, Narathiwat di Thailand baru-baru ini, mendapati penjualan petrol dan diesel yang dipercayai diseludup dari Malaysia semakin berkurangan berbanding sebelum penutupan pangkalan haram di sepanjang sempadan.

Keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini apabila bahan api berkenaan mudah ditemui dijual di beberapa lokasi.

Hasil tinjauan mendapati masih terdapat peniaga yang menawarkan petrol dan diesel dalam botol serta tong plastik di beberapa lokasi, namun jumlahnya jauh lebih sedikit dan tidak lagi dijual secara terbuka seperti sebelum ini.

Tinjauan itu juga mendapati kebanyakan lokasi yang sebelum ini dipercayai menjadi tempat transit dan penjualan bahan api kelihatan lengang, sekali gus menggambarkan penutupan pangkalan haram memberi kesan terhadap rantaian bekalan aktiviti penyeludupan rentas sempadan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.