Masjid sebagai ruang ibadah dan hab kompetensi komuniti

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Masjid sebagai pusat pembangunan komuniti: memperkasa ilmu, kemahiran dan kesejahteraan melalui program inklusif dan kerjasama
  • Kolaborasi strategik antara masjid, universiti, NGO dan industri mewujudkan pemindahan ilmu serta nilai integriti dan amanah
  • Latihan seperti kursus penyembelihan syarie menyokong ekosistem halal negara dan meningkatkan kebolehpasaran masyarakat
  • Masjid menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat untuk literasi digital, keusahawanan, kesihatan mental dan kemahiran praktikal

Apabila membicarakan pembangunan modal insan, perhatian sering tertumpu kepada institusi pendidikan, agensi latihan dan sektor industri. Namun, terdapat satu institusi yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada agenda tersebut, iaitu masjid.

Sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, malah menjadi pusat pendidikan, pentadbiran, kebajikan, penyelesaian konflik, pembangunan ekonomi dan pengembangan ilmu kepada masyarakat. Dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, peranan itu wajar diperkasakan semula.

Masjid perlu dilihat sebagai institusi sosial yang dinamik, bukan hanya sebagai ruang ibadah, tetapi sebagai pusat pembangunan komuniti yang mampu memperkasa ilmu, kemahiran dan kesejahteraan masyarakat melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Kolaborasi Strategik Membawa Nilai Tambah

Peranan tersebut dapat dilihat menerusi penganjuran Kursus Kompetensi Sembelihan Syarie di Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS), hasil kerjasama Media Prima Club (MPC), Masjid Al-Azhar UIS dan Persatuan Penyembelihan Syarie Malaysia (PPSM).

Walaupun berlangsung hanya sehari dengan penyertaan 48 peserta daripada pelbagai latar belakang, program ini membawa impak yang jauh lebih besar daripada sekadar latihan teknikal.

Ia membuktikan bahawa masjid mampu menjadi platform pemindahan ilmu dan pembangunan kompetensi masyarakat. Peserta bukan sahaja didedahkan kepada kemahiran penyembelihan yang menepati syariat Islam, malah dipupuk dengan nilai amanah, integriti dan tanggungjawab dalam melaksanakan ibadah tersebut.

Dengan kemudahan infrastruktur yang semakin moden, masjid kini berpotensi menjadi lokasi strategik bagi pelbagai program pembangunan komuniti yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi.

Sinergi Kepakaran, Manfaat Bersama Komuniti

Kejayaan sesuatu program tidak bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya lahir daripada sinergi antara organisasi yang mempunyai kepakaran dengan institusi yang dekat dengan masyarakat. Dalam konteks ini, masjid memainkan peranan sebagai penghubung yang menyatukan kedua-dua kekuatan tersebut.

Institusi pengajian tinggi, badan profesional, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri mempunyai kepakaran, tenaga pakar serta modul latihan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Sebaliknya, masjid menyediakan platform yang sesuai melalui pengurusan latihan, penyelarasan peserta dan penyediaan lokasi yang kondusif serta mudah diakses.

Model kolaborasi ini mewujudkan situasi menang-menang. Organisasi berkepakaran dapat memperluaskan pemindahan ilmu kepada masyarakat, manakala masjid memperkukuh peranannya sebagai hab pembangunan insan.

Penganjuran Kursus Kompetensi Sembelihan Syarie menjadi contoh terbaik apabila PPSM menyumbangkan kepakaran teknikal, Media Prima Club menggerakkan jaringan kerjasama, manakala Masjid Al-Azhar UIS bertindak sebagai pengurus latihan dan penyedia lokasi yang menghubungkan kepakaran tersebut dengan komuniti.

Pendekatan ini sewajarnya diperluaskan kepada pelbagai bidang lain seperti literasi digital, pendidikan media, keusahawanan, pengurusan kewangan keluarga, kesihatan mental dan kelestarian alam sekitar.

Apabila setiap organisasi memainkan peranan mengikut kekuatan masing-masing, manfaat yang diterima masyarakat menjadi lebih menyeluruh dan berkekalan.

Menyokong Agenda Industri Halal Negara

Dalam konteks ekonomi halal yang berkembang pesat di peringkat global, penyembelihan bukan sekadar proses teknikal, tetapi satu amanah yang berkait rapat dengan keyakinan pengguna terhadap integriti rantaian makanan halal.

Melalui latihan yang sistematik, peserta bukan sahaja menguasai teknik penyembelihan yang memenuhi syariat Islam, malah memahami aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan etika profesional seorang penyembelih.

Kompetensi seperti ini menjadi elemen penting dalam memperkukuh ekosistem halal negara, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju industri halal di peringkat antarabangsa.

Program seumpama ini juga membuktikan bahawa masjid mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi ummah melalui penyediaan latihan yang memenuhi keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran masyarakat.

Masjid Sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat

Keistimewaan masjid terletak pada kedudukannya yang dekat dengan masyarakat. Masjid mempunyai jaringan komuniti yang kukuh dan menjadi lokasi yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan kerjasama pelbagai organisasi, masjid mampu menganjurkan program pembangunan komuniti yang merangkumi latihan kemahiran, literasi digital, pendidikan media, pengurusan kewangan keluarga, kesihatan mental, keusahawanan, pengurusan bencana dan pelbagai lagi bidang yang relevan dengan keperluan semasa.

Pendekatan ini selari dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang menekankan bahawa proses menimba ilmu tidak terhad kepada institusi pendidikan formal, tetapi berlangsung secara berterusan dalam ruang sosial yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Membina Ekosistem Komuniti Berdaya Saing

Pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan dasar semata-mata.

Sebaliknya, kekuatan sesebuah negara turut ditentukan oleh keupayaannya melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Justeru, masjid perlu terus diperkasakan sebagai institusi pembangunan sosial yang responsif terhadap keperluan masyarakat.

Kejayaannya bukan hanya diukur melalui jumlah jemaah yang hadir, tetapi sejauh mana ia mampu membina kompetensi, memperkukuh nilai kebersamaan dan melahirkan komuniti yang lebih berdaya saing.

Apabila masjid membuka ruang kepada kerjasama strategik dengan universiti, industri, badan profesional, media dan organisasi masyarakat, ia bukan sahaja mengimarahkan institusi tersebut, malah membina ekosistem pembelajaran yang memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti.

Inilah wajah masjid yang perlu terus diperkasakan dalam Malaysia yang sejahtera; sebuah institusi yang menghubungkan ilmu, kemahiran, nilai dan khidmat demi kesejahteraan ummah serta kemajuan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi & Media,
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor
Ketua Jawatankuasa Penerangan & Multimedia
Masjid Al-Azhar, UIS
E-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.