
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Maklum balas penonton sepanjang liputan Piala Dunia 2026 menjadi pemangkin kepada usaha RTM memperkukuh platform digital RTMKlik, selain meningkatkan lagi kualiti kandungan penyiaran.
- Input rakyat mendorong RTM menambah baik penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh jenama penyiar awam.
- RTM tingkatkan kualiti kandungan menyeluruh termasuk sukan, berita, drama, hiburan dan penghasilan konsert.
- Warga RTM terbukti cemerlang; organisasi terus berusaha mendapatkan hak penyiaran masa depan dan jalin kerjasama strategik.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, pandangan dan input daripada rakyat Malaysia sentiasa menjadi dorongan kepada RTM untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh jenama penyiar awam negara itu.
“Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia ini tidak pernah kedekut dari segi memberikan input, tidak pernah letih dari segi menyatakan pandangan dan pendapat, terutama untuk kita sentiasa mengukuhkan lagi platform kita, RTMKlik dan juga jenama RTM itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia dan Majlis Apresiasi Petugas Siaran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.
Pengalaman mengendalikan penyiaran Piala Dunia 2026 dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti kandungan RTM secara menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek sukan, malah merangkumi Berita Ehwal Semasa (BES), drama, program hiburan serta penghasilan konsert.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan kemampuan warga RTM melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang demi negara.
“Kita telah membuktikan bahawa warga RTM mampu melaksanakan tanggungjawab ke tahap yang paling cemerlang demi negara dan setiap daripada kita adalah kebanggaan untuk Jabatan Penyiaran Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, RTM akan terus berusaha mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij itu pada masa hadapan, termasuk bagi edisi Piala Dunia 2030.
Semangat kebersamaan yang ditunjukkan seluruh warga RTM sepanjang Piala Dunia 2026 perlu diteruskan bagi memastikan organisasi itu kekal memberikan perkhidmatan cekap, bersih, amanah dan cemerlang.
Peningkatan minat syarikat korporat serta badan antarabangsa untuk bekerjasama dengan RTM turut menunjukkan keyakinan terhadap jenama penyiar awam berkenaan.
Menurut Ashwad, RTM juga sentiasa terbuka menjalin kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, penonton dan pendengar, selaras dengan tema keramat ‘Teman Setia Anda’.