IAME Series Asia 2026: Lebih 120 pelumba antarabangsa berentap rebut tiket ke Itali

Foto FB Inf1nity IAME Series Asia

CHERAS, 6 Ogos – Lebih 120 pelumba dari 15 buah negara bakal bertanding dalam kejuaraan go-kart, ‘Infinity IAME Series Asia Round 5 – Malaysia‘ anjuran Italian American Motor Engineering (IAME).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemenang tempat pertama hingga ketiga mendapat tiket eksklusif ke IAME World Final di Viterbo, Itali awal Oktober.
  • Sesi latihan di Litar Antarabangsa LYL fokus pada teknik pengendalian, strategi perlumbaan dan ujian ketahanan enjin tidak rasmi.
  • Empat kategori: Cadet, Junior, Senior dan Master; enjin 125cc (60cc untuk Cadet), trek 20 hingga 25 kilometer setiap pusingan.

Sesi latihan telah diadakan di Litar Antarabangsa LYL, sebagai persediaan akhir menjelang hari kejohanan yang bakal berlangsung pada 8 dan 9 Ogos ini.

Ketua Pasukan LOR Racing dan wakil pasukan Malaysia, Melvin Chun Ho berkata, sesi hari ini memberi fokus kepada teknik pengendalian jentera go-kart dan strategi perlumbaan.

“Pada latihan IAME pusingan kelima ini kami membuat latihan tidak rasmi untuk menguji ketahanan enjin go-kart menjelang hari kejohanan,” kata Chun Ho.

Terdapat empat kategori yang dipertandingkan, iaitu ‘Cadet’ (enam hingga 12 tahun), ‘Junior’ (12 hingga 14 tahun), ‘Senior’ (14 tahun dan ke atas) dan ‘Master’ (30 tahun dan ke atas).

Setiap jentera mempunyai kuasa kuda 125cc, manakala jentera kategori Cadet berkuasa 60cc.

Berbekalkan enjin x30 125 TAG dan x30 60 ‘waterswift’, setiap jentera dikehendaki berlumba dengan pusingan trek sejauh 20 hingga 25 kilometer bagi setiap kategori.

Setiap pelumba yang meraih tempat pertama hingga ketiga bakal menerima tiket eksklusif ke kejuaraan IAME World Final IWF yang bakal berlangsung di Viterbo, Itali pada awal Oktober depan.

Menurut Pengarah Eksekutif IAME, Daniel Ling Yong Soon, ia merupakan tradisi IAME untuk menganjurkan kejohanan akhir di pelbagai negara.

“Kebiasaan kejohanan akhir IAME memang akan berlangsung di pelbagai negara. Seperti terdahulu, kita pernah adalah kejohanan di Perancis dan Sepanyol dan untuk kali ini, ia akan berlangsung di Itali,” katanya.

Dengan jarak 1.5 kilometer, Litar Antarabangsa LYL di Monkeys Canopy, Sungai Long Hill di sini, merupakan litar go-kart terpanjang di Asia. Atas kelebihan tersebut, litar berkenaan dipilih sebagai lokasi latihan dan kejohanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.