
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kes tuntutan faedah LINDUNG 24 Jam melonjak lebih tiga kali ganda pada Julai 2026 membuktikan pelaksanaan skim tersebut langkah tepat ke arah perluasan perlindungan di luar waktu bekerja.
- PERKESO luluskan lebih 90% tuntutan LINDUNG 24 Jam dalam kurang lima hari, dengan bayaran RM3.45 juta kepada 2,508 penerima pada Julai.
- Pembayaran alat pemulihan dan implan tertinggi melebihi RM2.5 juta, mempercepat pembedahan dan meringankan beban perubatan pencarum.
- FHUS salur lebih RM842,564 sebagai gantian pendapatan memastikan kelangsungan hidup pencarum dan keluarga semasa cuti sakit.
- Untuk 1 Jun hingga 31 Julai tuntutan 2,751 kes, purata 45 kes sehari; jumlah dua bulan faedah mencecah RM4.69 juta.
Perkeso dalam kenyataan memaklumkan, jumlah permohonan faedah menerusi LINDUNG 24 Jam yang direkodkan pada bulan lalu melibatkan 2,135 kes, berbanding 616 kes pada Jun.
Sepanjang Julai lalu, PERKESO telah meluluskan penyaluran faedah bagi lebih 90 peratus kes tuntutan dalam tempoh kurang lima hari, dengan jumlah keseluruhan bayaran mencecah RM3.45 juta kepada 2,508 penerima.
“Faedah yang dibayar kepada penerima merangkumi Bayaran Ganti Belanja (BGB) Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Alatan Pemulihan dan Implan serta lain-lain.
“Alatan pemulihan dan implan merekodkan bayaran faedah tertinggi, lebih RM2.5 juta yang bertujuan meringankan beban perubatan pencarum selain memastikan pembedahan implan dapat dilaksanakan pada kadar segera,” menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO, hari ini.
Selain itu, bayaran lebih RM842,564 disalurkan melalui FHUS sebagai gantian pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup pencarum dan ahli keluarga, sepanjang berada dalam tempoh cuti sakit.
Bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2026, sebanyak 2,751 kes tuntutan dikemukakan menerusi skim LINDUNG 24 jam, dengan purata 45 kes sehari.
Secara kumulatif, jumlah bayaran faedah untuk dua bulan pertama pelaksanaan LINDUNG 24 jam mencecah RM4.69 juta, termasuk kira-kira RM3.69 juta bagi kos alat pemulihan dan implan serta lebih RM909,800 bagi FHUS.
Ini tidak termasuk bayaran faedah jangka panjang yang disalurkan PERKESO kepada waris keluarga, menjangkau nilai keseluruhan lebih RM2 juta.
“Peningkatan ketara tuntutan faedah LINDUNG 24 Jam membuktikan keperluan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada pekerja tanpa mengira masa atau lokasi kemalangan.
“Skim ini diwujudkan bagi memastikan pencarum dan keluarga tidak berdepan beban kewangan bersendirian ketika ditimpa musibah, selain menjamin akses sokongan pemulihan sewajarnya untuk kembali bekerja seperti sedia kala.
“PERKESO akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dengan memastikan tuntutan diproses secara pantas dan bantuan disalurkan secepat mungkin,” menurut kenyataan sama.