
SAUDARA PENGARANG
- Ancaman malaria zoonotik P. knowlesi masih nyata walaupun malaria manusia jarang, memerlukan pengiktirafan klinikal awal tanpa bergantung pada persepsi ia sudah hilang.
- Pendidikan perubatan mesti fokus pada clinical reasoning, sejarah perjalanan dan pekerjaan, latihan simulasi, tafsiran filem darah serta keterbatasan ujian pantas.
- Hospital dan makmal perlu mengekalkan kompetensi diagnostik, melaksanakan rujukan kecemasan serta melaporkan kes dengan cepat untuk mengelakkan komplikasi teruk.
- Pendekatan One Health dan penjagaan berpusatkan pesakit wajib, melibatkan komuniti, agensi perhutanan, pengusaha ladang dan kawalan vektor bersama.
Bayangkan seorang pekerja ladang datang ke klinik dengan demam, sakit kepala dan keletihan. Gejalanya mungkin disangka denggi atau jangkitan virus biasa. Namun satu pertanyaan tentang pekerjaan, perjalanan dan pendedahan di pinggir hutan boleh mengubah seluruh arah diagnosis.
Malaria sering dianggap sebagai “penyakit lama” yang hanya tinggal dalam buku teks. Persepsi itu mudah muncul kerana Malaysia mengekalkan sifar kes tempatan daripada spesies malaria manusia sejak 2018.
Namun kejayaan tersebut tidak bermakna malaria sudah meninggalkan negara kita. Ancaman itu sekadar bertukar wajah kepada malaria zoonotik, khususnya jangkitan Plasmodium knowlesi.
Menurut World Malaria Report 2025, Malaysia merekodkan 1,927 kes tempatan P. knowlesi pada 2024, menurun 33 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan tiga kematian. Namun Malaysia masih menyumbang kira-kira 89 peratus daripada kes P. knowlesi yang dilaporkan di dunia.
Kes banyak dikaitkan dengan kawasan berhutan dan aktiviti seperti pertanian, perladangan, pembalakan serta pencarian hasil hutan, terutama di Sabah, Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung.
Di sebalik angka itu, timbul persoalan lebih penting: siapakah yang akan mengesan dan merawat pesakit pada masa hadapan? Pelajar perubatan, kejururawatan dan sains kesihatan hari ini bakal mewarisi sistem kesihatan negara.
Namun apabila malaria manusia semakin jarang ditemui di wad, pendedahan klinikal generasi baharu turut berkurangan.
Di bilik kuliah, malaria lazimnya dipelajari melalui kitaran hidup parasit, spesies dan cara penularan melalui gigitan nyamuk anopheles.
Pesakit sebenar pula tidak datang dengan diagnosis yang siap dilabel. Mereka mungkin hanya mengalami demam akut, menggigil, sakit kepala atau keletihan yang menyerupai banyak penyakit lain.
Oleh itu, pendidikan perubatan mesti mengutamakan clinical reasoning, iaitu keupayaan menghubungkan gejala, keputusan ujian dan latar belakang pesakit.
Petugas perlu mencurigai malaria apabila demam disertai trombositopenia, iaitu bilangan platelet darah yang rendah; anemia, iaitu kekurangan sel darah merah; atau jaundis, iaitu kekuningan pada kulit dan mata.
Sejarah perjalanan dan pekerjaan juga tidak boleh dianggap sebagai soalan sampingan. Doktor perlu bertanya sama ada pesakit bekerja di ladang sawit, memasuki hutan, memburu, memancing atau tinggal berhampiran kawasan yang mempunyai kera dan beruk.
P. knowlesi membiak dengan pantas dan boleh menyebabkan malaria teruk serta kegagalan organ sekiranya diagnosis dan rawatan terlambat.
Cabaran diagnostiknya juga nyata. Pemeriksaan filem darah nipis dan tebal, yang digunakan untuk melihat parasit malaria melalui mikroskop, masih penting. Namun rupa P. knowlesi boleh menyerupai spesies malaria lain.
Ujian pantas atau Rapid Diagnostic Test sedia ada pula belum dapat mengesannya secara khusus. Pengesahan spesies memerlukan PCR, iaitu ujian molekular yang mengenal pasti bahan genetik parasit.
Kes yang berkemungkinan atau disahkan juga perlu dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah dalam tempoh 24 jam.
Justeru, universiti perlu bergerak melampaui hafalan. Latihan mengambil sejarah perjalanan dan pekerjaan mesti dijadikan kompetensi wajib.
Pelajar perlu menjalani simulasi kes demam, mentafsir filem darah, memahami keterbatasan ujian pantas serta mengetahui proses penghantaran sampel melalui Program Survelan Molekular Malaria Kebangsaan.
Protokol rujukan kecemasan bagi malaria teruk juga perlu dilatih sebelum mereka memasuki perkhidmatan.
Namun malaria bukan sekadar imej parasit di bawah mikroskop. Ia ialah kisah seorang bapa yang kehilangan pendapatan, ibu di pedalaman yang jauh daripada klinik, atau pekerja ladang migran yang tercicir daripada pengawasan kesihatan.
Penyelidikan berasaskan suara komuniti menunjukkan bahawa risiko malaria sering menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan dan pekerjaan mereka.
Petugas kesihatan perlu mengamalkan patient-centred care, iaitu penjagaan yang menghormati keperluan, budaya dan keadaan hidup pesakit. Komuniti tidak wajar dipersalahkan kerana menggunakan sabut kelapa atau serai wangi apabila repelen komersial sukar dibeli.
Pendidikan kesihatan perlu membimbing mereka memakai pakaian berlengan panjang, menggunakan kelambu berubat dan mematuhi rawatan antimalaria, tanpa menolak pengetahuan tempatan.
Malaria zoonotik juga menuntut pendekatan One Health, yang melihat kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai satu sistem. Kera dan beruk menjadi perumah semula jadi, manakala nyamuk seperti anopheles balabacensis dan anopheles latens menjadi pembawa biologi.
Pembalakan, pertanian dan pemecahan habitat pula meningkatkan pertemuan antara manusia, hidupan liar dan nyamuk.
Oleh itu, sektor kesihatan perlu bekerjasama dengan PERHILITAN, jabatan perhutanan, pengusaha ladang dan komuniti dalam pengawasan, kawalan vektor serta pengurusan konflik manusia-hidupan liar.
Mahasiswa kesihatan juga tidak seharusnya menjadi pemerhati pasif. Mereka boleh menyertai program lapangan bersama pejabat kesihatan daerah.
Antaranya membantu saringan aktif ketika berlaku kluster, menyampaikan pendidikan kesihatan dan memahami penggunaan ubat pencegahan bagi individu berisiko selepas penilaian pegawai perubatan.
Ubat antimalaria, kelambu berubat, semburan kawalan nyamuk dan sistem pemetaan berasaskan satelit memang penting. Namun teknologi hanya berkesan apabila dikendalikan oleh petugas yang tajam pemikirannya, cekap berkomunikasi dan memahami data tempatan.
Universiti mesti memperkukuh latihan, hospital serta makmal perlu mengekalkan kompetensi diagnostik, agensi kerajaan mesti menyepadukan pendekatan One Health, manakala komuniti perlu dilibatkan sebagai rakan kongsi.
Soalan akhirnya bukan sama ada Malaysia pernah berjaya mengawal malaria. Soalannya, adakah bakal doktor, jururawat dan petugas kesihatan kita bersedia mengenali wajah baharunya sebelum terlambat?
Jawapan kepada persoalan ini menentukan sama ada kejayaan negara dapat dipertahankan atau terhakis oleh ancaman zoonotik yang senyap.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Norazsida Ramli
Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti
Pensyarah Parasitologi
Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my