
KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Kejayaan mencipta sejarah di Sukan Komanwel Glasgow 2026 menjadi pembakar semangat buat jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas lebih tinggi.
- Sasaran terdekat: Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026; sasaran jangka panjang layak dan beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
- Anggap Sukan Asia sebagai mini Olimpik; akan uji kemampuan menentang kuasa judo Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Tajikistan dan Kazakhstan.
- Tidak mahu beri tekanan; sasaran permulaan dua atau tiga perlawanan untuk bina keyakinan dan tingkatkan prestasi antarabangsa.
Pemenang pingat emas pertama negara dalam sukan judo di Sukan Komanwel itu kini mengalihkan tumpuan kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum meneruskan misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Sasaran terdekat saya sekarang ialah Sukan Asia di Aichi-Nagoya, manakala sasaran jangka panjang adalah untuk layak dan beraksi di LA28,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Glasgow pada Selasa.
Amir Daniel berkata peluang beraksi di Sukan Asia amat bermakna kerana temasya itu menghimpunkan atlet judo terbaik dunia, sekali gus menjadi pentas terbaik untuk menguji kemampuan sebelum mengorak langkah ke Olimpik.
“Sudah tentu cabarannya lebih sukar kerana bagi sukan judo, Sukan Asia boleh dianggap seperti mini Olimpik. Kebanyakan negara yang kuat seperti Jepun, Korea Selatan, Tajikistan dan Kazakhstan datang dari Asia.
“Saya bersyukur kerana berjaya melayakkan diri dan akan memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Atlet berusia 21 tahun itu turut berharap pengalaman beraksi di pentas antarabangsa akan terus mematangkan permainannya selain meningkatkan keyakinan menghadapi pencabar bertaraf dunia.
“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Jika dapat memenangi dua atau tiga perlawanan, itu sudah cukup baik sebagai permulaan dan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi,” katanya.
Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Amir Daniel melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo kategori bawah 81 kilogram lelaki selepas menewaskan Timothy Meuwsen dari Afrika Selatan pada aksi final.