UPSI teroka kerjasama penubuhan hospital pakar swasta

Foto UPSI

TANJONG MALIM, 5 Ogos – Bagi memperkukuh kemudahan kesihatan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang meneroka potensi penubuhan sebuah hospital pakar swasta di Tanjong Malim, sebagai usaha menyokong pembangunan ekosistem bandar ilmu itu pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan selaras dengan keperluan institusi dan kawasan untuk terus berkembang sebagai pusat pendidikan serta komuniti yang memerlukan sokongan berkualiti.
  • Berperanan menampung keperluan kesihatan pelajar dan staf antarabangsa yang semakin bertambah di universiti.
  • UPSI meneliti kerjasama dengan pihak hospital swasta dan model perniagaan sesuai bagi merealisasikan inisiatif kesihatan.
  • Hasrat jangka panjang termasuk pembangunan kemudahan persaraan dan resort persaraan bagi memastikan pesara terus berhubung dengan kampus.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, perancangan tersebut selari dengan keperluan institusi dan kawasan tersebut untuk terus berkembang sebagai pusat pendidikan serta komuniti yang semakin memerlukan kemudahan sokongan berkualiti.

Pada masa sama, berperanan menampung keperluan kesihatan pelajar dan staf antarabangsa yang semakin bertambah di universiti berkenaan.

Sehubungan itu katanya, UPSI kini sedang melihat potensi kerjasama dengan pihak hospital swasta termasuk meneliti model perniagaan yang sesuai bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan mana-mana hospital swasta, hospital spesialis swasta untuk beroperasi di Tanjong Malim ataupun dalam tanah kita di UPSI.

“Kita sedang melihat bagaimana model perniagaannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.

Selain pembangunan kemudahan kesihatan, Prof. Datuk Dr. Md Amin turut memaklumkan, mengenai hasrat jangka panjang kemudahan persaraan di Tanjong Malim bertujuan membolehkan warga universiti yang telah bersara untuk terus kekal berhubung dengan kampus.

Inisiatif berkenaan termasuk cadangan pembangunan resort persaraan sebagai salah satu usaha mewujudkan komuniti pesara UPSI di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Prof. Datuk Dr. Md Amin turut menzahirkan penghargaan kepada Prof Abdul Talib Mohamed Hashim atas sumbangan besar beliau sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di UPSI.

Katanya, Prof Abdul Talib antara pemimpin yang mempunyai pendekatan diplomasi tinggi serta sentiasa bersedia membantu universiti dalam menjayakan pelbagai amanah.

“Jasa dan pengorbanan Abdul Talib akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan UPSI,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.