
TOKYO, 4 Ogos- Tiga ekor singa betina di Tama Zoological Park, di sini, mati disyaki akibat strok haba, manakala beberapa lagi masih menerima rawatan selepas terjejas akibat cuaca panas melampau, menurut pihak zoo pada Selasa.
- 10 daripada 16 singa menunjukkan simptom seperti hilang selera makan dan kurang aktif sejak pertengahan Julai.
- Doktor haiwan mengesyaki strok haba selepas tanda dehidrasi dan kegagalan pelbagai organ dikesan.
- Kandang singa ditutup kepada pengunjung; zoo menyembur air, tambah baik pengudaraan dan pasang penghawa dingin setempat.
- Musim panas Jepun paling panas dalam rekod, beberapa kawasan merekodkan suhu mencecah 40 darjah Celsius.
Zoo berkenaan memaklumkan 10 daripada 16 ekor singa mengalami simptom seperti hilang selera makan dan kurang aktif sejak pertengahan Julai dengan tiga daripadanya mati.
Seekor singa betina berusia tiga tahun mati pada Selasa, manakala dua lagi berusia 11 dan 15 tahun masing-masing mati pada Jumaat dan Ahad.
“Menurut doktor haiwan zoo kami, punca kematian disyaki akibat strok haba selepas tanda-tanda dehidrasi dan kegagalan pelbagai organ dikesan,” kata jurucakap zoo kepada AFP.
Pihak zoo berkata kandang singa ditutup kepada pengunjung sehingga diberitahu kelak, selain mempertingkat langkah menghadapi cuaca panas termasuk menyembur air, menambah baik pengudaraan dan memasang penghawa dingin setempat.
Jepun mengalami musim panas paling panas dalam rekod tahun lalu, manakala beberapa kawasan merekodkan suhu mencecah 40 darjah Celsius dalam beberapa minggu kebelakangan ini. -AFP