
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) julung kali menganjurkan Kejohanan Gendang 24 Perayaan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini di Ipoh, Perak.
- Mencungkil bakat murid dan menjadi platform peserta pelbagai kaum bergabung menerusi seni persembahan, memperkukuh perpaduan.
- KPM berhasrat memperluas inisiatif ini secara sistematik dengan sokongan penuh kementerian.
- 16 pasukan terpilih menyertai peringkat kebangsaan, menunjukkan penyertaan pelbagai kaum; harapan sokongan KPM dan Kerajaan MADANI tingkatkan penglibatan.
Timbalan Menteri KPM, Wong Kah Woh berkata penganjuran kejohanan peringkat kebangsaan itu bukan sahaja mencungkil bakat murid, malah platform kepada peserta pelbagai kaum bergabung dalam satu pasukan menerusi seni persembahan.
Inisiaitif tersebut katanya sekali gus memperkukuh perpaduan menerusi seni warisan budaya negara.
“Kejohanan peringkat kebangsaan itu merupakan pertandingan pertama yang diiktiraf dan dianjurkan KPM kerana sebelum ini hanya dilaksanakan di peringkat sekolah, antara sekolah atau oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Justeru, kita mahu memastikan inisiatif ini diperluas secara sistematik dengan sokongan penuh kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Wong berkata sebanyak 16 pasukan daripada sekolah seluruh negara menyertai kejohanan itu selepas melepasi proses pemilihan peringkat negeri.
Mengulas aspek perpaduan beliau berkata, walaupun majoriti peserta terdiri daripada masyarakat Cina, namun kejohanan tersebut turut berjaya menarik penyertaan murid kaum lain.
“Pada pertandingan peringkat Zon Sarawak baru-baru ini, pasukan naib johan dari Sekolah Menengah Kebangsaan St. Anthony disertai lebih separuh murid Bumiputera.
“Ini menunjukkan keunikan masyarakat kita apabila kita menggabungkan kesemua murid kita untuk bersama-sama dalam satu permainan dan persembahan”, jelasnya.
Selain itu, beliau berharap sokongan berterusan KPM dan Kerajaan MADANI dapat meningkatkan lagi penyertaan Gendang 24 Perayaan yang kini merekodkan lebih 68,000 peserta sejak mula dianjurkan sekali gus memastikan warisan budaya terus berkembang sebagai kebanggaan negara.