
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Negara hari ini dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 11 senator.
- Pindaan bertujuan memperkukuh peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi MCMC dalam kawal selia komunikasi negara.
- Pengerusi dilarang daripada menjadi ahli politik; tidak boleh anggota badan perundangan termasuk Ahli Parlimen atau ADUN.
- Anggota bukan wakil kerajaan mesti mempunyai pengalaman dan pengetahuan berkaitan seperti dinyatakan dalam fasal 3.
- RUU mengandungi 17 fasal termasuk pindaan Seksyen 16 untuk jelaskan peranan MCMC dalam piawaian infrastruktur dan platform digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, RUU berkenaan bertujuan meningkatkan peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi MCMC, selain memperkukuh fungsi kawal selia industri komunikasi negara.
Beliau berkata, antara pindaan penting adalah larangan melantik ahli politik sebagai Pengerusi MCMC bagi memastikan tadbir urus serta kebebasan suruhanjaya itu terus diperkasakan.
“Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh.
“Anggota yang bukan wakil kerajaan juga perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang berkaitan seperti yang dinyatakan dalam fasal 3 RUU pindaan ini.
“Pindaan yang dibawa ini adalah bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan,” katanya.
Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan pindaan berkenaan penting memandangkan sektor komunikasi dan multimedia kini bukan lagi sekadar sektor ekonomi, malah menjadi infrastruktur strategik negara.
RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu itu mengandungi 17 fasal, antaranya meminda Seksyen 16 Akta 589 bagi memperjelas fungsi MCMC dalam membangunkan serta mengawal selia piawaian infrastruktur dan platform digital.