Generasi Z: Pemimpin masa depan atau pengikut media sosial?

Foto janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Media sosial mengubah ukuran pengaruh; populariti maya sering menggantikan kredibiliti dan pengalaman dalam menilai pemimpin.
  • Algoritma mencipta kelompok pemikiran serupa, mengurangkan pendedahan kepada pandangan berbeza dan melemahkan pemikiran kritis.
  • Universiti dan pengalaman praktikal perlu membentuk pemimpin berintegriti, empati dan kebolehan membuat keputusan, bukan sekadar kemahiran digital.
  • Generasi Z berpotensi jadi pemimpin inklusif dan inovatif jika media sosial digunakan untuk mendidik, menyatukan, bukan mengejar populariti.

Setiap generasi mempunyai cabaran dan keistimewaannya yang tersendiri. Jika generasi terdahulu dibentuk melalui pengalaman hidup, interaksi bersemuka dan pembelajaran secara konvensional, Generasi Z pula membesar dalam dunia yang dikuasai teknologi digital, media sosial dan capaian maklumat tanpa sempadan.

Mereka merupakan generasi pertama yang tidak pernah mengenali kehidupan tanpa internet, telefon pintar dan pelbagai platform media sosial. Keadaan ini menjadikan cara mereka berfikir, berkomunikasi dan membuat keputusan jauh berbeza daripada generasi sebelumnya.

Persoalannya, adakah Generasi Z sedang berkembang sebagai pemimpin masa depan yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat dan negara, atau sekadar menjadi pengikut kepada pengaruh media sosial yang semakin sukar dibendung?

Hakikatnya, media sosial telah mengubah landskap kepimpinan secara menyeluruh. Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia yang melaporkan 98.0 peratus individu di negara ini menggunakan internet pada tahun 2024.

Dengan kadar penggunaan yang hampir menyeluruh, media sosial bukan lagi sekadar saluran komunikasi, malah telah menjadi ruang membentuk nilai, sikap dan cara berfikir generasi muda.

Dalam keadaan ini, pengaruh seseorang tidak lagi bergantung kepada kedudukan atau pengalaman, tetapi sering diukur berdasarkan jumlah pengikut, perkongsian dan interaksi yang diterima di alam maya.

Jika suatu ketika dahulu seseorang pemimpin dinilai berdasarkan pengalaman, kebijaksanaan dan sumbangan kepada masyarakat, hari ini pengaruh sering diukur melalui jumlah pengikut, tanda suka dan tontonan.

Populariti digital adakalanya lebih diberi perhatian berbanding kredibiliti, sekali gus mengubah persepsi sebahagian anak muda terhadap maksud sebenar kepimpinan.

Fenomena ini jelas dapat dilihat dalam kalangan mahasiswa. Tidak dinafikan, media sosial menjadi medium penting untuk menyampaikan maklumat, menggerakkan kempen kesukarelawanan, mempromosikan program universiti dan membina jaringan profesional.

Namun, dalam masa yang sama, ia turut mewujudkan budaya mengejar perhatian sehingga ada yang lebih mengutamakan kandungan yang tular daripada nilai ilmu, integriti dan tanggungjawab. Dalam keadaan sedemikian, kepimpinan berisiko dilihat sebagai satu bentuk penciptaan imej, bukannya amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Lebih membimbangkan, algoritma media sosial sering memaparkan kandungan yang selari dengan kecenderungan pengguna. Akibatnya, Generasi Z berisiko terperangkap dalam kelompok pemikiran yang serupa sehingga kurang terdedah kepada pandangan yang berbeza.

Pemimpin yang baik sepatutnya memiliki keupayaan mendengar, menilai pelbagai sudut pandangan dan membuat keputusan secara rasional. Jika maklumat yang diterima hanya datang daripada kelompok yang sama, kemampuan berfikir secara kritis akan semakin terhad.

Walau bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menyalahkan media sosial sepenuhnya. Hakikatnya, platform digital juga telah melahirkan ramai anak muda yang menggunakan pengaruh mereka untuk tujuan yang positif.

Kita melihat ramai mahasiswa memanfaatkan media sosial bagi menggerakkan bantuan kemanusiaan, mempromosikan kesedaran kesihatan mental, memperjuangkan kelestarian alam sekitar, menggalakkan kesukarelawanan serta membina perusahaan baharu.

Mereka membuktikan bahawa media sosial bukan sekadar ruang hiburan, sebaliknya boleh menjadi medium untuk memimpin masyarakat dan mencetuskan perubahan.

Perubahan ini menunjukkan bahawa persoalan sebenar bukanlah sama ada media sosial itu baik atau buruk. Sebaliknya, yang lebih penting ialah bagaimana Generasi Z menggunakan teknologi tersebut.

Pemimpin masa depan tidak boleh sekadar mahir menghasilkan kandungan digital, tetapi perlu mampu membezakan antara maklumat yang sahih dengan maklumat yang mengelirukan.

Dalam era ledakan maklumat, keupayaan menilai kesahihan sesuatu berita merupakan salah satu ciri kepimpinan yang amat penting.

Universiti mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk keseimbangan tersebut. Institusi pendidikan tinggi tidak seharusnya hanya melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik, tetapi juga pemimpin yang mempunyai integriti, empati dan daya tahan.

Kepimpinan tidak terbentuk melalui syarahan di bilik kuliah semata-mata. Sebaliknya, ia lahir melalui pengalaman mengurus organisasi pelajar, menyelesaikan konflik, mengendalikan program kemasyarakatan, memimpin sukarelawan dan membuat keputusan dalam situasi yang mencabar.

Pengalaman seperti inilah yang membentuk kematangan serta kebijaksanaan seseorang pemimpin.

Dalam konteks ini, Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan akademik, kelab kokurikulum dan badan sukarelawan perlu diberi ruang yang lebih luas untuk menjadi platform latihan kepimpinan. Pada masa yang sama, pendekatan kepimpinan di universiti juga perlu berubah selari dengan karakter Generasi Z.

Golongan ini lebih menghargai kepimpinan yang bersifat terbuka, telus dan berasaskan perbincangan berbanding pendekatan yang terlalu berhierarki. Mereka mahu suara didengar, idea dihargai dan peluang diberikan untuk bersama-sama mencorakkan penyelesaian kepada sesuatu isu.

Dalam dunia pekerjaan pula, majikan kini tidak lagi menilai calon hanya berdasarkan keputusan peperiksaan. Mereka mencari individu yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bekerjasama dalam pasukan, menyelesaikan masalah, berfikir secara kritis serta menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Semua kemahiran ini merupakan asas kepada kepimpinan yang berkualiti dan tidak dapat dibina hanya melalui penggunaan media sosial.

Lebih penting lagi, Generasi Z bakal memimpin masyarakat dalam era yang dipengaruhi oleh kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital. Cabaran mereka jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu.

Oleh itu, pemimpin masa depan perlu mempunyai keseimbangan antara penguasaan teknologi dengan nilai kemanusiaan. Keupayaan menggunakan teknologi perlu disertai dengan kebijaksanaan membuat pertimbangan yang beretika, menghormati kepelbagaian serta mengutamakan kepentingan masyarakat.

Generasi Z sebenarnya mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pemimpin yang lebih inklusif, kreatif dan inovatif.

Mereka lebih terbuka menerima perubahan, mudah menguasai teknologi dan berani mencuba pendekatan baharu. Namun, potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya mereka tidak menjadikan media sosial sebagai penentu identiti dan nilai diri.

Populariti mungkin mampu menarik perhatian, tetapi hanya integriti, ilmu dan kebijaksanaan yang mampu mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap seseorang pemimpin.

Kesimpulannya, persoalan sama ada Generasi Z akan menjadi pemimpin masa depan atau sekadar pengikut media sosial bergantung kepada bagaimana mereka dibimbing pada hari ini.

Media sosial hanyalah alat yang menentukan hala tuju ialah nilai, pendidikan dan pengalaman yang membentuk seseorang individu.

Universiti, keluarga dan masyarakat perlu berganding bahu membentuk generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga memiliki jati diri, integriti dan semangat kepimpinan yang tinggi.

Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin muda yang mampu menggunakan media sosial untuk mendidik, menyatukan dan membangunkan masyarakat, bukannya sekadar mengejar perhatian atau populariti.

Masa depan negara bergantung kepada kemampuan Generasi Z memimpin perubahan dengan ilmu, hikmah dan tanggungjawab, bukan dengan jumlah pengikut di alam maya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Muhammad Hafizi Zamri
Pensyarah Kanan (Pengurusan Acara)
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Selangor
Kampus Puncak Alam


Aida Nur Mohd Kodri
Pensyarah Kanan
Ketua Unit Kepimpinan Pelajar
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Melaka

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.