Johor tawar ganjaran lumayan atlet emas SUKMA 2026

Foto RTM

ISKANDAR PUTERI, 3 Ogos – Kerajaan Johor menawarkan ganjaran sehingga RM10,000 kepada setiap atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 yang bermula 15 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ganjaran RM9,000 setiap atlet untuk acara berpasukan yang melibatkan tiga hingga tujuh orang.
  • Acara berpasukan lebih tujuh atlet menerima RM8,500 setiap seorang; acara individu atau berpasangan RM10,000 setiap seorang.
  • Johor menyasarkan 45 pingat, namun tidak menolak kemungkinan sasaran lebih tinggi dan kejutan.
  • Kontinjen Johor: 689 atlet untuk 379 acara melibatkan 37 sukan; Para SUKMA wakili 110 atlet, 23 jurulatih, 28 pegawai.

Exco Belia, Sukan, Keusahawanan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, atlet yang memenangi emas dalam acara berpasukan melibatkan tiga hingga tujuh orang akan menerima ganjaran RM9,000 setiap seorang.

Bagi acara berpasukan yang melibatkan lebih tujuh atlet pula, setiap pemenang pingat emas akan menerima RM8,500 seorang, manakala atlet yang menjuarai acara individu atau berpasangan akan menerima RM10,000 setiap seorang.

Menurut beliau, Johor menyasarkan untuk meraih 45 pingat pada edisi kali ini, namun tidak menolak kemungkinan mencipta kejutan dengan sasaran lebih tinggi.

“Kami sasarkan pingat pada kali ini sebanyak 45, tetapi ada kejutan terakhir, Insya-Allah. Kami percaya kedudukan tiga terbaik masih dalam genggaman dan pastinya akan ada kejutan demi kejutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di Iskandar Puteri yang disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Kontinjen Johor kali ini dibarisi 689 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 379 acara melibatkan 37 jenis sukan.

Ganjaran sama turut diberikan kepada atlet Johor yang menyertai Para SUKMA ke-22 Selangor 2026 yang dijadual berlangsung mulai 5 September ini.

Kontinjen Para SUKMA Johor akan diwakili 110 atlet dengan sokongan 23 jurulatih dan 28 pegawai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.