
KULIM, 3 Ogos – Pelaksanaan Permit Pembinaan Ekspres (E10) oleh Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) membuktikan reformasi penyampaian perkhidmatan mampu meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi.
- Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong usaha reformasi di peringkat pihak berkuasa tempatan untuk ekosistem pelaburan lebih cekap, responsif dan berdaya saing.
- Projek AT&S RM8.5 bilion dipercepat melalui penyelarasan agensi dan proses kelulusan tangkas; siap 33 bulan, sumbang 6,500 peluang pekerjaan.
- Lawatan memanfaatkan teknologi AR untuk pemantauan fasiliti secara maya, manakala MPKK diiktiraf mewujudkan persekitaran pelaburan kondusif.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong usaha reformasi di peringkat pihak berkuasa tempatan, khususnya dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang lebih cekap, responsif dan berdaya saing.
“Inisiatif E10 yang dilaksanakan menerusi pendekatan lebih tangkas, digital dan kolaboratif itu selaras dengan aspirasi Reformasi Kerenah Birokrasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), yang memberi tumpuan kepada pemudah cara pelaburan serta pemulihan ekonomi di peringkat daerah,” katanya selepas meninjau kemajuan projek AT&S Austria Technologies & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd., di sini.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi yang diyakini pelabur global.
Tambah beliau, projek pelaburan bernilai RM8.5 bilion itu membuktikan bahawa reformasi penyampaian kerajaan mampu mempercepat pelaksanaan projek strategik negara melalui penyelarasan awal antara agensi, pemantauan berterusan serta proses kelulusan yang lebih tangkas.
“Hasilnya, projek berskala besar ini berjaya disiapkan dan beroperasi dalam tempoh 33 bulan, selain menawarkan kira-kira 6,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Jelas beliau, inilah matlamat sebenar ARPA iaitu menjadikan perkhidmatan awam sebagai pemudah cara utama pembangunan negara.
“Apabila agensi bergerak sebagai satu pasukan dan penyampaian dipercepatkan, keyakinan pelabur akan meningkat dan daya saing Malaysia terus diperkukuh,” tambahnya.
Dalam lawatan sama, beliau turut memantau keseluruhan fasiliti AT&S secara maya menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) tanpa perlu bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff berkata lawatan tersebut menjadi pengiktirafan terhadap usaha berterusan MPKK dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif serta menyokong aspirasi Kulim sebagai hab industri berteknologi tinggi bertaraf dunia.