OPEC+ tambah pengeluaran 188,000 tong sehari mulai September

Foto AFP

LONDON, 3 Ogos – Tujuh negara anggota utama OPEC+ bersetuju meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 188,000 tong sehari mulai September ketika pasaran global terus berdepan gangguan bekalan akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dicapai oleh Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman menerusi mesyuarat dalam talian.
  • Pelarasan melengkapkan proses menarik balik pakej kedua daripada tiga siri pemotongan pengeluaran sebelum ini.
  • Penganalisis berkata kesan peningkatan mungkin lambat kerana kekangan di Selat Hormuz dan gangguan laluan perkapalan.
  • Sebahagian anggota masih tidak mampu mencapai sasaran rasmi akibat kemerosotan kapasiti, sekali gus mengehadkan impak pelarasan.

Keputusan itu dicapai Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman menerusi mesyuarat secara dalam talian pada Ahad.

Dalam satu kenyataan bersama, kesemua negara itu memaklumkan, pelarasan itu menandakan OPEC+ selesai menarik balik satu lagi pusingan pemotongan pengeluaran yang dilaksanakan sebelum ini.

Penganalisis Rystad Energy, Jorge Leon berkata, tumpuan OPEC+ selepas ini adalah menguruskan kemungkinan lebihan bekalan apabila aliran eksport kembali normal.

Beliau bagaimanapun menyatakan, kesan sebenar peningkatan pengeluaran itu mungkin belum dirasai dalam tempoh terdekat berikutan kekangan di Selat Hormuz.

Negara-negara Teluk ketika ini berdepan kesukaran meningkatkan eksport susulan gangguan laluan perkapalan di selat strategik berkenaan sepanjang konflik di Asia Barat.

Penganalisis UBS, Giovanni Staunovo pula berkata, sebahagian anggota OPEC+ masih tidak mampu mencapai sasaran rasmi pengeluaran akibat kemerosotan kapasiti, sekali gus mengehadkan kesan pelarasan baharu itu.

Leon menjangkakan OPEC+ mengekalkan tahap pengeluaran pada suku keempat bagi memberi ruang kepada kumpulan itu membuat persediaan menghadapi rundingan kuota 2027.

OPEC+ sebelum ini mengurangkan pengeluaran hampir enam juta tong sehari menerusi tiga pusingan pemotongan antara penghujung 2022 dan 2023 bagi mengekang kejatuhan harga minyak.

Kumpulan itu kemudian mengubah strategi dengan meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur mulai 2025. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.